Rabu, 12 Ogos 2020 | 11:42am
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abd Rahim Bakr.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abd Rahim Bakr.

Hutang, tanggungan liabiliti negara hujung tahun RM1.264 trilion

KUALA LUMPUR: Kedudukan hutang negara dan pendedahan liabiliti kerajaan pada akhir tahun ini dianggarkan berjumlah RM1.264 trilion.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abd Rahim Bakri, berkata jumlah itu mengambil kira defisit keseluruhan bagi tahun ini termasuk pembiayaan pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan kesan penularan COVID-19.

"Kedudukan ini akan disemak dan diperinci ketika pembentangan Belanjawan 2021," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Alice Lau Kiong Yieng (PH-Lanang) yang bertanya mengenai jumlah hutang negara dan liabiliti sebenar kerajaan terkini, serta jumlah anggaran hasil pendapatan negara pada 2020.

Abd Rahim menjelaskan, berdasarkan Standard Government Finance Statistics 1986, hutang Kerajaan Persekutuan adalah sebanyak RM823.8 bilion iaitu berdasarkan had statutori kedudukan hutang pada kadar 53.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Bagaimanapun katanya, kerajaan juga menanggung dan terdedah kepada tanggungan komitmen kewangan, termasuk komitmen jaminan sebanyak RM166.9 bilion bagi melaksanakan projek infrastruktur seperti pengangkutan awam Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak.

"Selain itu, hutang syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM32.6 bilion dan anggaran liabiliti kewangan lain sebanyak RM181.4 bilion merangkumi projek perkongsian awam-swasta (PPP), inisiatif kewangan swasta (PFI) dan Pembinaan BLT Sdn Bhd (PBLT).

"Sebagai contoh projek pembangunan Putrajaya, kuarters polis dan penyelenggaraan fasiliti kerajaan (hospital dan jalan)," katanya.

Mengenai anggaran hasil pendapatan negara pada tahun ini, Abd Rahim memaklumkan, ia dijangka mengalami pengurangan berikutan harga terkini minyak mentah dunia (brent) yang masih rendah iaitu AS$41 setong, berbanding AS$61 setong yang dianggarkan pada pembentangan Belanjawan 2020, yang mana kerajaan pada ketika itu mengumumkan unjuran hasil Kerajaan Persekutuan pada tahun ini adalah sebanyak RM244.5 bilion.

"Berikutan kesan pandemik COVID1-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke atas ekonomi, kerajaan mengambil langkah proaktif melaksanakan pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi serta inisiatif percukaian termasuk pengecualian cukai dan penangguhan bayaran cukai perniagaan dalam sektor pelancongan.

"Justeru, kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan pada 2020 dijangka mencatat defisit fiskal 5.8 hingga enam peratus, berbanding anggaran asal 3.2 peratus daripada KDNK.

"Perincian anggaran hasil Kerajaan Persekutuan pada 2020 yang disemak semula akan dibentangkan bersama dengan anggaran kedudukan kewangan 2021 dalam Belanjawan 2021 yang dijadualkan pada 6 November ini, mengambil kira kedudukan ekonomi semasa," katanya.

Beliau berkata bagi tempoh jangka sederhana dan panjang, kerajaan akan kembali melaksanakan langkah konsolidasi fiskal dalam jangka masa sederhana dan inisiatif pengukuhan kedudukan fiskal kerajaan termasuk mengukuhkan pentadbiran dan pematuhan cukai serta peningkatan kecekapan perbelanjaan.

"Dalam usaha memastikan paras hutang dan pendedahan liabiliti kewangan Kerajaan Persekutuan kekal terkawal dan terurus, kerajaan akan melaksanakan langkah konsolidasi fiskal secara berperingkat apabila persekitaran ekonomi kembali pulih bagi mengurangkan keperluan pinjaman," katanya.

Menjawab soalan tambahan Alice mengenai strategi kerajaan menangani pandangan agensi rating antarabangsa terhadap Malaysia, Abd Rahim berkata, kedudukan rating negara masih di tahap yang tinggi iaitu sekurang-kurangnya "A-" bagi ketiga-tiga agensi penarafan terbesar dunia iaitu Moody's, Fitch Ratings dan S&P Global Ratings.

"Ini menunjukkan masyarakat antarabangsa khususnya golongan penilai memberikan rating yang baik, selain keyakinan terhadap ekonomi Malaysia dan program yang dilaksanakan bagi menjana semula ekonomi," katanya.

p>

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X