Ahad, 9 Ogos 2020 | 5:05pm
Gambar hiasan - FOTO BERNAMA
Gambar hiasan - FOTO BERNAMA

40,000 nelayan bakal dicarumkan bawah SKSPS

KUALA LUMPUR: Kira-kira 40,000 nelayan di seluruh negara akan dicarumkan bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) secara berperingkat mulai 15 Ogos ini.

Menurut Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam satu kenyataan, hari ini, usaha itu dilaksanakan melalui kerjasama erat pihaknya dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Katanya, ia akan menggantikan caruman insurans nelayan berkelompok LKIM yang dibuat melalui potongan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN).

"Sebagai permulaan, LKIM akan membuat caruman SKSPS membabitkan 3,879 nelayan di seluruh Malaysia dengan bayaran setahun berjumlah RM157.20, iaitu mengikut pilihan Pelan 1 SKSPS.

"Caruman akan bermula 15 Ogos ini. Daripada jumlah itu, 13.56 peratus atau 526 nelayan yang akan berdaftar dan mencarum dengan PERKESO adalah dari Perak," katanya.

Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak telah ditandatangani Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, serta Ketua Pengarah LKIM, Othman Abdul Latiff, dengan disaksikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

SKSPS memberi perlindungan kepada individu menjalankan pekerjaan sendiri seperti bencana pekerjaan, termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan ketika menjalankan aktiviti pekerjaannya.

Skim itu menyediakan faedah tunai kepada pencarum, di samping rawatan perubatan, pemulihan jasmani dan latihan vokasional.

Bawah skim itu, orang tanggungan atau waris layak mendapat faedah orang tanggungan jika pencarum meninggal dunia akibat bencana kerja.

Pinjaman pendidikan juga disediakan kepada anak sekiranya pencarum meninggal dunia atau ketika menerima faedah hilang upaya kekal berkala.

"PERKESO berharap dapat memperluas perlindungan SKSPS kepada sektor lain bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan seperti pertanian dan penternakan," katanya.

Berita Harian X