Ahad, 9 Ogos 2020 | 1:47pm
Agensi pengendali pakej umrah di Malaysia diminta tidak mengambil kesempatan menaikkan harga pakej secara mendadak apabila Arab Saudi membenarkan kemasukan semula warganegara asing untuk mengerjakan ibadat berkenaan. - Foto hiasan
Agensi pengendali pakej umrah di Malaysia diminta tidak mengambil kesempatan menaikkan harga pakej secara mendadak apabila Arab Saudi membenarkan kemasukan semula warganegara asing untuk mengerjakan ibadat berkenaan. - Foto hiasan

Agensi pengendali diminta usah ambil kesempatan

KUALA LUMPUR: Agensi pengendali pakej umrah di Malaysia diminta tidak mengambil kesempatan menaikkan harga pakej secara mendadak apabila Arab Saudi membenarkan kemasukan semula warganegara asing untuk mengerjakan ibadat berkenaan.

Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Alauddin Mohd Nor, berkata jika ada kenaikan kos yang perlu dikenakan kepada pelanggan masing-masing, ia seharusnya pada kadar yang munasabah dan berpatutan.

Beliau mengakui dilema dihadapi agensi pakej umrah di Malaysia susulan jangkaan kos bagi mengerjakan ibadat itu di Tanah Suci, meningkat antara 20 hingga 25 peratus.

"Kami faham dilema agensi pakej umrah di Malaysia, namun kami memohon agar mereka tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga pakej secara mendadak.

"Sekiranya ada kenaikan, ia hendaklah dilakukan pada kadar yang munasabah dan berpatutan," katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Ditanya bila tarikh sebenar Arab Saudi akan membenarkan kemasukan warganegara asing untuk mengerjakan umrah, Alauddin berkata, setakat ini belum ada petunjuk yang tepat mengenai perkara terbabit.

Sementara itu, beliau berkata, kenaikan kadar Cukai Nilai Tambah (VAT) daripada lima peratus kepada 15 peratus seperti diputuskan oleh Kerajaan Arab Saudi, sememangnya memberi kesan langsung kepada peningkatan kos ibadat umrah.

Katanya, Arab Saudi mengumumkan kenaikan VAT sebanyak 10 peratus ke atas semua barangan dan perkhidmatan di negara itu, bermula 1 Julai lalu.

"Sekiranya ibadat umrah dibenarkan kelak, memang dijangka kenaikan kadar kos pakej umrah. Ia dilihat akan mempunyai kesan riak atau gelombang atau 'ripple effect' ke atas semua harga barangan dan perkhidmatan di Arab Saudi.

"Secara tidak langsung, ia akan turut mempengaruhi harga bagi tujuan menunaikan ibadat umrah pada masa depan," katanya.

Alauddin menjelaskan, agensi pengendali umrah di Malaysia antara yang akan terkesan dengan kenaikan kadar cukai berkenaan.

Berita Harian X