Ahad, 9 Ogos 2020 | 1:45pm
Info Caj khidmat Umrah. - NSTP/Garfik BH
Info Caj khidmat Umrah. - NSTP/Garfik BH

Kos umrah meningkat sehingga 25 peratus

KUALA LUMPUR: Harga pakej umrah dijangka naik antara 20 hingga 25 peratus apabila Arab Saudi membenarkan kemasukan semula warga negara asing untuk mengerjakan ibadat itu, mungkin mulai September atau Oktober ini.

Faktor menyumbang peningkatan adalah bayaran visa umrah, harga tiket penerbangan pergi balik, kos pengangkutan dan penginapan hotel di Tanah Suci, kos makan dan minum, upah pembimbing umrah atau mutawif, kos ujian saringan COVID-19 dan kuarantin selepas selesai ibadat berkenaan.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan, Umrah dan Haji (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham memberitahu BH, Arab Saudi juga mungkin mengenakan Cukai Nilai Tambah (VAT) lebih tinggi, iaitu daripada lima peratus seperti pengumuman awal kepada 15 peratus, selain beberapa caj perkhidmatan lain.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan, Umrah dan Haji (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham. - NSTP/Faiz Anuar
Presiden Persatuan Agensi Pelancongan, Umrah dan Haji (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham. - NSTP/Faiz Anuar

"Difahamkan, VAT (kadar 15 peratus) ditangguhkan dan mungkin dikenakan apabila ibadat umrah dibenarkan semula nanti," katanya.

Mengikut laporan media, kenaikan VAT diumumkan Kementerian Kewangan Arab Saudi pada 11 Mei lalu, dengan peningkatan daripada lima peratus kepada 15 peratus bermula 1 Julai. VAT ialah cukai yang dinilai berdasarkan pembekalan barangan dan perkhidmatan.

Pelaksanaan cukai berkenaan diluluskan kerajaan negara terbabit pada Januari 2017 pada kadar lima peratus susulan satu perjanjian dalam kalangan enam negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) bagi menambah pendapatan dan menyesuaikan keadaan dengan harga minyak mentah yang rendah.

"Kos pengangkutan dan perkhidmatan lain juga dijangka meningkat. Contoh, jika prosedur operasi standard (SOP) bagi penginapan ditetapkan hanya dua orang sebilik, maka kos penginapan di hotel juga akan lebih mahal.

"Tiket penerbangan juga dijangka meningkat sehingga 20 peratus kerana jumlah penumpang dalam pesawat dihadkan untuk mematuhi aspek penjarakan sosial," katanya.

Pada 27 Februari lalu, Arab Saudi menggantung sementara kemasukan warganegara asing bagi tujuan umrah, ziarah ke Masjid Nabawi dan pelancongan ke negara berkenaan bagi mencegah, mengawal dan menghapuskan penularan COVID-19.

Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohd Al-Bakri dilaporkan berkata, kebenaran kepada jemaah Malaysia untuk menunaikan umrah akan diberikan bergantung kepada situasi semasa COVID-19, sekalipun Arab Saudi dijangka membenarkan ibadah itu dilaksanakan mulai September atau Oktober ini.

Razali menjelaskan, jangkaan kenaikan kos antara 20 hingga 25 peratus itu bermakna pakej yang biasa ditawarkan untuk penginapan empat orang sebilik pada harga RM5,000 akan naik kepada RM6,200, manakala caj untuk muassasah juga mungkin naik sehingga 20 peratus.

Dalam keadaan sekarang, katanya, agensi umrah termasuk di Malaysia terpaksa akur dengan sebarang kenaikan kos serta SOP dengan norma baharu yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

"Semua ini tidak dapat dielak kerana Arab Saudi juga memperkenalkan beberapa norma baharu. Kita terpaksa akur," katanya.

Dalam isu agensi umrah yang sudah menerima bayaran penuh daripada pelanggan sebelum ini tetapi penerbangan ke Tanah Suci terpaksa ditangguhkan akibat COVID-19, Razali berkata, PAPUH sudah mengingatkan semua agensi agar tidak meminta caj tambahan.

"Kita minta ahli (PAPUH) teruskan dengan harga lama, tetapi bagi jualan pakej baharu, mereka terpaksa mengikut kadar semasa dengan kenaikan antara 20 hingga 25 peratus yang dijangka itu," katanya.

Berita Harian X