Khamis, 6 Ogos 2020 | 10:04pm
Kakitangan Media Prima Berhad menunjukkan plak dan sijil masing-masing selepas memenangi beberapa hadiah utama daripada tujuh kategori yang dipertandingkan dalam Anugerah Media E-Idaman Kedah 2019 anjuran Kelab Media Elit Kedah (KMEK), hari ini. - Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Kakitangan Media Prima Berhad menunjukkan plak dan sijil masing-masing selepas memenangi beberapa hadiah utama daripada tujuh kategori yang dipertandingkan dalam Anugerah Media E-Idaman Kedah 2019 anjuran Kelab Media Elit Kedah (KMEK), hari ini. - Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman

Media Prima ungguli Anugerah Media Kedah E-Idaman 2019

ALOR SETAR: Kumpulan Media Prima Berhad mengungguli Anugerah Media Kedah E-Idaman 2019 apabila memenangi 11 anugerah daripada tujuh kategori yang dipertandingkan, hari ini.

Wartawan BH, M Hifzuddin Ikhsan, Muhammad Mustakim Ramli dan Safuri Kamaruddin merangkul hadiah utama Laporan Berita Akhbar dan Online Terbaik melalui laporan 'Baling: Kais Pagi Makan Pagi, Sardin Umpama Hidangan Mewah'.

Laporan itu turut memenangi tempat pertama bagi kategori Berita dan Hal Ehwal Semasa.

BH turut memenangi tempat pertama kategori Ekonomi dan Keusahawanan melalui laporan 'Kedah Rancang Bina Hab Aeropolis dan Aeroangkasa' yang dihasilkan Hifzuddin.

Hifzuddin bersama Mustakim turut memenangi tempat kedua kategori Pertanian dan Agrotek melalui laporan 'Kedah Korbankan Taman Industri, Fokus Pengeluaran Padi'.

Turut berjaya wartawan Harian Metro, Mohd Aizat Sharif Fisalluddin yang memenangi tempat ketiga kategori Berita Hal Ehwal Semasa melalui laporan 'Laluan Tikus Ahning' dan Mustakim turut memenangi tempat ketiga kategori Alam Sekitar dan Kesihatan melalui laporan 'Bakar Arang Berisiko'.

Jurugambar The New Straits Times Press (NSTP), Sharul Hafiz Zam, berjaya memenangi tempat pertama dan kedua kategori Gambar Terbaik melalui gambar bertajuk 'Lembah Praire Malaysia' dan 'Berani Melawan Ombak'.

Wartawan TV3, Kumaran Rajamoney dan jurukamera, Shazwan Kamal Ahmad Shazalli pula memenangi hadiah utama Laporan Berita TV Terbaik melalui laporan 'Aduan Rakyat: Selamatkan Gunung Baling'.

Laporan itu turut memenangi tempat pertama kategori Alam Sekitar dan Kesihatan.

Hadir bagi menyampaikan hadiah ialah Pengarah E-Idaman, Zaki Abdul Aziz Daud dan Ketua Bahagian Komunikasi Korporat E-Idaman, Erni Nerina Awang Salleh.

Sementara itu, Zaki dalam ucapannya berharap kerjasama antara syarikat pengurusan sisa pepejal itu dan media dapat diteruskan bagi mendidik masyarakat mengenai kepentingan menguruskan buangan domestik.

"Sebagai syarikat perkhidmatan sisa pepejal, kita mengharapkan bantuan media dalam menyampaikan maklumat berkaitan pengurusan sisa domestik agar orang ramai turut bersama menjaga persekitaran.

"Selain itu, media turut membantu mengetengahkan usaha dilakukan pekerja E-Idaman yang terus bekerja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menjadi sebahagian barisan hadapan," katanya.

Anugerah Media Kedah 2019 anjuran Kelab Media Elit Kedah (KMEK), Kerajaan Negeri Kedah dan E-Idaman menyediakan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM13,000.

Berita Harian X