Rabu, 5 Ogos 2020 | 9:07pm
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah ketika sesi sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah ketika sesi sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

PARLIMEN: Tuduhan 'Speaker berat sebelah' hangatkan sesi penggulungan

KUALA LUMPUR: Kenyataan Ahli Parlimen pembangkang "Speaker berat sebelah" mencetuskan kekecohan hampir 10 minit ketika sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi Kementerian Tenaga dan Sumber Asli di Dewan Rakyat petang ini.

Situasi mula 'panas' apabila Yeo Bee Yin (PH-Bakri) bangun mempertahankan dirinya menjawab dakwaan Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) mengenai empat daripada lima pembida yang berjaya dalam Projek Solar Berskala Besar Pusingan Ketiga (LSS3) adalah daripada syarikat asing, ketika mencelah sesi itu.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, bagaimanapun tidak mengizinkan Bee Yin dan memberi laluan kepada menteri berkenaan, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, meneruskan penggulungannya.

"Ini bukan sesi perbahasan YB Bakri (Bee Yin), ini (sesi) bertanya kepada menteri (Shamsul Anuar)...biar menteri jawab," tegas Mohd Rashid.

Namun, Bee Yin yang juga bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim 'berkeras' mahu menjawab dakwaan Salim, sehingga Bee Yin mengeluarkan kenyataan Mohd Rashid bertindak berat sebelah.

"Adakah tuan Speaker berat sebelah…di mana menteri tidak berani menjawab (soalan)…adakah ini adil," soal Bee Yin.

Mohd Rashid bagaimanapun menepis tuduhan itu: "Saya seadilnya (memutuskan) ini floor (waktu) menteri (menggulung)… saya sebut nanti menteri beri laluan kepada YB lain untuk bercakap."

Susulan itu, Willie Anak Mongin (BERSATU-Puncak Borneo) diikuti Awang Hashim (PAS-Pendang) membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36 yang meminta Bee Yin menarik balik kenyataan itu, namun beliau berkata akan menarik balik ungkapan itu dengan syarat diberi ruang mencelah penggulungan menteri.

Keadaan terus panas dengan 'perang mulut' antara Bee Yin dan Mohd Rashid, sehingga memaksa Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat memberi tiga kali amaran supaya Bee Yin menarik balik tuduhan berat sebelah.

"Saya minta YB Bakri tarik balik (kenyataan)… kalau tidak, saya (terpaksa) minta Bentara (petugas Dewan Rakyat) jalankan tugas. YB berdiri (mencelah) tanpa kebenaran saya.

"YB Bakri (Bee Yin), ini amaran kali ketiga untuk tarik balik kenyataan tanpa syarat," katanya.

Bee Yin kemudian menarik balik kenyataannya dan persidangan diteruskan. – BERNAMA

Berita Harian X