Selasa, 4 Ogos 2020 | 2:26pm
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

ePenjana rekod 4.5 juta penerima dalam tiga hari

PUTRAJAYA: Lebih 4.5 juta penerima ePenjana direkodkan dalam tempoh tiga hari pertama selepas inisiatif itu dilancarkan bermula 31 Julai lalu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata inisiatif untuk merangsang perniagaan runcit dan membudayakan pembayaran secara digital itu menyaksikan penerima mendapat RM50 menerusi e-dompet.

"Alhamdulillah, dalam tiga hari pertama ePenjana iaitu sehingga 2 Ogos 2020, lebih daripada 4.5 juta rakyat telah berjaya menerima RM50 dalam e-dompet mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berkongsi Laporan LAKSANA Ke-11 pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) menerusi Facebook, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, sejak ePenjana diumumkan, jumlah pengguna MySejahtera yang berdaftar telah meningkat lebih daripada dua juta kepada 9.4 juta pengguna.

"Sebagai peringatan, ePenjana boleh ditebus menggunakan satu daripada tiga penyedia perkhidmatan e-dompet iaitu, Boost, GrabPay dan Touch 'n Go eWallet. Berhati-hatilah dengan aplikasi palsu atau tidak rasmi.

"Pengguna juga mesti memuat turun aplikasi MySejahtera yang terkini. Versi aplikasi lama tidak boleh mendapat bantuan ePenjana," katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga telah menambah baik aplikasi MySejahtera merangkumi saringan dalam proses verifikasi dan kelulusan.

"Ini adalah ekoran beberapa cabaran yang dihadapi pemohon, terutama dari segi padanan nama dalam pangkalan data. Cuma, saya ingin mengingatkan agar jangan menggunakan nama manja seperti Superman, Boboi, dan Achik ketika mendaftar. 'Confirm' (sudah pasti) tak dapat tu," katanya.

Berita Harian X