Isnin, 3 Ogos 2020 | 6:29pm
POLIS membuat serbuan di sebuah pusat hiburan yang dikunjungi 310 individu di Jalan PJU 7/3 Mutiara Damansara, baru-baru ini. Foto/NSTP
POLIS membuat serbuan di sebuah pusat hiburan yang dikunjungi 310 individu di Jalan PJU 7/3 Mutiara Damansara, baru-baru ini. Foto/NSTP

Banyak pusat hiburan jalankan aktiviti 'curi-curi'

KUALA LUMPUR: Polis menyedari terdapat sebahagian besar premis hiburan di seluruh negara menjalankan aktiviti perniagaan meskipun kerajaan masih belum memberikan kebenaran meneruskan operasi mereka.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor, berkata berdasarkan pemantauan yang dijalankan mendapati ada sebahagian besar pemilik dan pengurusan pusat hiburan yang menjalankan aktiviti mereka secara haram.

"Saya juga amat khuatir apabila ada usaha segelintir premis hiburan yang mencuri-curi membukanya, di mana baru-baru ini kita dapati ramai yang berkunjung ke situ (pusat hiburan) untuk berfoya-foya.

"Pada masa ini, pihak polis tidak akan berkompromi dan akan terus mengambil tindakan yang sepatutnya terhadap mana-mana premis yang masih berdegil menjalankan aktiviti hiburan mereka," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling, Jaya, di sini, hari ini.

Mazlan berkata, polis akan sentiasa memantau dan mengalu-alukan sebarang maklumat orang ramai.

"Saya menyeru sesiapa sahaja yang ada maklumat salurkan kepada pihak kami dan tindakan tegas termasuk menutup premis akan diambil kepada pemilik premis terbabit.

"Kita tidak mahu gelombang kedua dan sebagainya berlaku dan jangan ambil peluang apabila melihat kes COVID-19 sudah berkurangan kerana kita masih terdedah kepadanya," katanya.

Minggu lalu, BH ada mendedahkan kewujudan sebuah restoran dan bistro yang berubah menjadi pusat hiburan di bumbung sebuah menara di Persiaran KLCC yang beroperasi lebih masa dan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pengunjung premis yang terletak di tingkat 57 itu dirakam berpelukan, menari, bercumbu serta melanggar Prosedur Operasi Standard lain yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan berhubung usaha menyekat penyebaran COVID-19.

Berita Harian X