Sabtu, 1 Ogos 2020 | 6:55pm
Orang ramai dilihat memakai pelitup muka dalam tinjauan di sekitar Pasar Besar Jalan Othman, Petaling Jaya. - NSTP/FATHIL ASRI
Orang ramai dilihat memakai pelitup muka dalam tinjauan di sekitar Pasar Besar Jalan Othman, Petaling Jaya. - NSTP/FATHIL ASRI

COVID-19: 2 jenis pelitup muka bendung penularan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan menggariskan dua jenis pelitup muka yang boleh digunakan bagi membendung penularan COVID-19 di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia adalah pelitup muka perubatan dan bukan perubatan.

Bagaimanapun, katanya, pelitup muka bukan perubatan jenis fabrik yang ada dalam pasaran, berkemungkinan tidak menepati ciri disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Justeru, beliau berkata, pelitup muka terbabit boleh dipakai untuk kegunaan orang awam tetapi keberkesanannya mungkin berbeza, bergantung pada jenis dan bilangan lapisan kain yang digunakan.

"Pelitup muka perubatan seperti tiga ply surgical mask, digunakan oleh petugas kesihatan, orang awam mengalami gejala saluran pernafasan, golongan berisiko tinggi seperti warga emas (berusia 60 tahun dan ke atas) serta mereka yang menghidap penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi.

"Penggunaan pelitup muka bukan perubatan pula disyorkan untuk mereka yang tidak mengalami gejala tetapi berada di tempat di mana penjarakan fizikal sukar diamalkan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham menjelaskan, pelitup muka tidak boleh dipakai oleh kanak-kanak berusia kurang dua tahun, mereka yang sukar bernafas serta individu tidak sedarkan diri, kurang berupaya atau tidak dapat menanggalkannya tanpa bantuan.

Menyentuh kewajipan memakai pelitup muka ketika berada di dalam pengangkutan awam dan kawasan sesak tumpuan umum mulai hari ini pula, katanya, ia adalah antara strategi mengekang jangkitan COVID-19.

Beliau berkata, mereka yang mengingkari arahan itu bakal berdepan hukuman denda RM1,000 mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Penggunaan pelitup muka harus diamalkan bersama penjagaan kebersihan tangan dengan kerap dan penjarakan fizikal yang selamat, iaitu sekurang-kurang satu meter," katanya sambil menyeru masyarakat supaya memberi kerjasama penuh kepada kerajaan dalam usaha memerangi COVID-19.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X