Khamis, 30 Julai 2020 | 5:58pm
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - FOTO BERNAMA
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - FOTO BERNAMA

Najib kemuka rayuan terhadap sabitan, hukuman

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan rasuah serta pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Bekas Perdana Menteri itu melalui peguamnya memfailkan notis rayuan berkenaan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini, hari ini.

Perkara itu disahkan peguam, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, yang juga salah seorang peguam dalam pasukan pembelaan kes SRC International, ketika dihubungi.

Kelmarin, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan terbabit.

Mahkamah Tinggi memerintahkan Ahli Parlimen Pekan itu dipenjara 10 tahun masing-masing bagi tiga pertuduhan pecah amanah membabitkan wang RM42 juta milik SRC International.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam keputusannya turut memerintahkan Najib dipenjara 12 tahun dan didenda RM210 juta (jika gagal bayar, lima tahun penjara) bagi satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Bagi tiga pertuduhan pengubahan wang haram pula, Najib dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan.

Mohd Nazlan bagaimanapun memerintahkan semua hukuman penjara itu berjalan serentak.

Berita Harian X