Selasa, 28 Julai 2020 | 10:48pm
Pemandangan dari udara kepadatan kediaman penduduk di Bukit Malut. - FOTO NSTP
Pemandangan dari udara kepadatan kediaman penduduk di Bukit Malut. - FOTO NSTP

Penempatan haram Bukit Malut bukan dalam kawasan rizab

KUALA LUMPUR: Kawasan penempatan haram di Bukit Malut, Langkawi, tidak terletak dalam rizab hutan paya bakau atau Hutan Simpan Bukit Malut, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Sebaliknya, penempatan itu terletak dalam tanah kerajaan yang diberi hak milik sementara oleh Kerajaan Kedah kepada Permodalan Kedah Berhad dengan tempoh pajakan selama 99 tahun.

"Pihak kementerian difahamkan bahawa Kerajaan Kedah maklum mengenai perkara ini dan usaha sedang diambil kerajaan negeri bersama jabatan serta agensi berkaitan.

"(Ini) termasuklah dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memindahkan penduduk tinggal secara haram di kawasan itu ke kawasan baharu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shamsul Anuar menjelaskan, pemeliharaan Hutan Simpan Bukit Malut masih dalam keadaan terkawal walaupun ada sedikit kesan pencerobohan untuk pemilikan tanah.

Justeru, beliau berkata, pihak kementerian melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Jabatan Perhutanan Kedah akan sentiasa membuat pemantauan di kawasan terbabit bagi mengelakkan berlaku pencerobohan baharu.

"Tindakan tegas mengikut kuasa diperuntukkan dalam Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) akan diambil terhadap penceroboh," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X