Selasa, 28 Julai 2020 | 12:13am
Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Pengerusi MRT 2020, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (belakang enam dari kiri) bersama pasukannya ketika mempengerusikan VMRT. - NSTP/Ihsan MITI
Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Pengerusi MRT 2020, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (belakang enam dari kiri) bersama pasukannya ketika mempengerusikan VMRT. - NSTP/Ihsan MITI

Malaysia sambut baik usaha APEC sokong WTO

KUALA LUMPUR: Malaysia menyambut baik kesepakatan yang digariskan dalam kenyataan secara kolektif daripada anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), hasil Persidangan Maya Menteri-Menteri Bertanggungjawab bagi Perdagangan (VMRT), Sabtu lalu.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), memaklumkan kenyataan itu antaranya menggariskan komitmen APEC menyokong tugas Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), usaha lanjut memudahkan inisiatif perdagangan serta memperkukuh daya tahan rantaian bekalan dalam kalangan APEC.

"Kenyataan itu turut memperakui kepentingan suasana perdagangan dan pelaburan yang bebas, terbuka, adil, tidak mendiskriminasi, telus dan dijangka dalam kalangan negara APEC, dalam usaha memulihkan ekonomi ketika tempoh mencabar ini," jelas MITI dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, MITI memaklumkan, Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Pengerusi MRT 2020, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut memimpin dan bekerjasama rapat dengan rakan sejawatan untuk mencapai konsensus itu, yang turut menyentuh mengenai Deklarasi mengenai Memudahkan Gerakan Barangan Penting di dalam APEC.

"Malaysia mengalu-alukan deklarasi itu yang menjadi menunjukkan komitmen rantau ini untuk memastikan kelancaran aliran barangan penting ketika tempoh krisis ini.

"Pencapaian ini sangat bermakna memandangkan Malaysia adalah pihak yang mengutarakan deklarasi ini," kata Mohamed Azmin.

Selain itu, jelas MITI, Malaysia turut mengalu-alukan kemajuan lain yang dicapai dalam inisiatif utama APEC berhuhung tindak balas terhadap COVID-19.

Antara inisiatif itu termasuklah memudahkan pergerakan orang ramai, platform digital untuk perkongsian maklumat serta cadangan mewujudkan sub-dana APEC bagi melawan COVID-19 serta memulihkan ekonomi.

"Malaysia, sebagai ekonomi yang diamanahkan mengetuai perangkaan Visi Pasca 2020 sebagai dokumen panduan APEC untuk beberapa tahun akan datang, menerima galakan daripada semua perwakilan yang mahukan visi yang bermakna dan mampu dicapai," katanya.

Malaysia mencatat sejarah apabila buat julung kali menganjurkan mesyuarat MRT APEC secara maya sepenuhnya, Sabtu lalu, yang dipengerusikan Mohamed Azmin.Selain itu, Malaysia turut mengetuai kepemimpinan bagi memastikan perbincangan dalam kalangan MRT APEC mengenai pemulihan ekonomi diteruskan.

Berita Harian X