Ahad, 26 Julai 2020 | 1:56pm
Hutan paya bakau Bukit Malut, Langkawi diceroboh warga asing. - NSTP/Amran Hamid
Hutan paya bakau Bukit Malut, Langkawi diceroboh warga asing. - NSTP/Amran Hamid

Isu Bukit Malut: Pihak berkuasa akan bertindak

LARUT: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli akan mengambil tindakan atas pencerobohan tanah rizab hutan paya bakau Bukit Malut, Langkawi.

Menterinya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata petempatan berkenaan dibina secara haram dan pihak berkuasa akan mengambil langkah sewajarnya.

Beliau berkata, pihaknya perlu mendapat laporan terperinci mengenai isu itu sebelum mengambil tindakan susulan, berdasarkan peraturan sedia ada.

"Pihak kementerian mengambil maklum perkara berkenaan yang menjadi viral dan mendapat perhatian pelbagai pihak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Pata Laut Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2020 di Pusat Eko Pelajaran Hutan Paya Laut Matang, di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan BH berhubung gesaan penduduk Langkawi agar kerajaan Persekutuan melakukan pemutihan ke atas kira-kira 10,000 warga Myanmar yang mendiami kawasan itu yang dikenali sebagai kawasan penempatan pendatang tanpa izin.

Sementara itu, mengenai sambutan hari ini, Shamsul Anuar berkata, kementeriannya kekal komited untuk memelihara dan memulihara kawasan paya bakau laut di seluruh negara yang mempunyai spesies flora yang tinggi, iaitu 42 daripada 52 spesies bakau yang ada di Asia Tenggara.

"Jadi, kita harus menjaga ekosistem ini kerana ia satu ekosistem yang paling terancam di dunia.

"Kadar kehilangan hutan paya laut tiga hingga lima kali lebih tinggi daripada kadar kehilangan hutan global," katanya.

Selain itu, beliau berkata, hutan paya laut berpotensi menjadi destinasi pelancongan dan mengambil contoh penanaman pokok ru di Pantai Senok, Bachok, yang terkenal dalam kalangan pengunjung sebagai Pulau Nami Malaysia.

Pulau Nami ialah destinasi pelancongan terkenal di Korea Selatan. - BERNAMA


Berita berkaitan:

  • Penempatan haram Bukit Malut membesar
  • Berita Harian X