Ahad, 26 Julai 2020 | 12:24pm
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) merangkap Pengerusi MRT, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) merangkap Pengerusi MRT, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Malaysia ketuai mesyuarat APEC pemulihan ekonomi

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatat sejarah apabila buat julung kali menganjurkan mesyuarat Menteri Bertanggungjawab bagi Perdagangan (MRT) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) secara maya sepenuhnya, semalam.

Malaysia juga mengetuai kepemimpinan bagi memastikan perbincangan dalam kalangan MRT APEC mengenai pemulihan ekonomi diteruskan.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) merangkap Pengerusi MRT, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempengerusikan mesyuarat MRT APEC yang kali pertama itu semalam.

MITI bertindak sebagai sekretariat kebangsaan yang menganjurkan mesyuarat maya APEC berkenaan.

Mohamed Azmin ketika membacakan kenyataan bersama organisasi diwakili 21 ekonomi itu, berkata MRT APEC sekali lagi menegaskan kembali komitmen mereka untuk mengurangkan kesan ekonomi disebabkan oleh pandemik COVID-19 secara efektif dan segera mengemudi rantau itu ke arah jalan pemulihan ekonomi yang berdaya tahan, mampan, inklusif dan dipercepat.

MITI bertindak sebagai sekretariat kebangsaan yang menganjurkan mesyuarat maya APEC.
MITI bertindak sebagai sekretariat kebangsaan yang menganjurkan mesyuarat maya APEC.

Mereka berkata, ia termasuk kepentingan persekitaran perdagangan dan pelaburan yang bebas, terbuka, adil, tidak diskriminasi, telus dan boleh dijangka.

"Kami memperakui kepentingan persekitaran perdagangan dan pelaburan yang bebas, terbuka, adil, tidak diskriminatif, telus dan boleh dijangka untuk mendorong pemulihan ekonomi pada masa yang mencabar.

"Kami juga mengambil perhatian terhadap program dan inisiatif kerja APEC utama yang menyokong kerja WTO (Organisasi Perdagangan Dunia).

"Kami menegaskan kepentingan peraturan yang telus dan tidak diskriminasi, yang disepakati dalam WTO, yang meningkatkan jangkaan pasaran dan memungkinkan keyakinan perniagaan, serta membenarkan pergerakan dalam perdagangan," kata mereka.

Dalam hal berkenaan, MRT APEC berkata, bagi mengiktiraf peranan WTO dalam hal ini, mereka telah bersetuju bahawa tindakan perlu dilakukan untuk meningkatkan fungsi organisasi itu dan menyokong pembaharuan yang diperlukan dalam WTO.

"Kami komited untuk memastikan bahawa langkah kecemasan yang direkabentuk untuk mengatasi COVID-19 adalah bersasar, berkadar, telus, sementara, tidak menimbulkan halangan yang tidak perlu untuk perdagangan atau gangguan pada rantaian bekalan global dan konsisten dengan peraturan WTO," kata mereka.

Sementara itu, MRT APEC berkata, ia menggalakkan ekonomi untuk berkolaborasi dan mengadaptasi penyelesaian digital yang akan mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan serta membolehkan perniagaan rentas sempadan, termasuk melalui e-dagang.

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempengerusikan mesyuarat MRT APEC yang kali pertama.
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempengerusikan mesyuarat MRT APEC yang kali pertama.

"Dalam memanfaatkan peluang ekonomi digital, kami mengakui kepentingan bekerjasama dalam memudahkan aliran data dan mengukuhkan kepercayaan pengguna dan perniagaan dalam transaksi digital," tambah mereka.

Mesyuarat yang berlangsung selama lima jam itu juga menyaksikan semua 21 anggota APEC mencapai kata sepakat untuk mengendors Deklarasi Memudahkan Pergerakan Barang-barang Penting di dalam APEC.

Deklarasi itu menurut Mohamed Azmin, adalah petunjuk yang jelas mengenai komitmen 21 ekonomi anggota untuk memastikan barang penting tetap dapat diakses walaupun ketika waktu krisis.

Katanya, Pegawai Kanan juga telah mengemukakan cadangan untuk memudahkan pergerakan penting untuk orang yang melintasi sempadan di dalam APEC, yang akan diberi perhatian mereka.

Mohamed Azmin turut menekankan bahawa keserantauan perlu terus menjadi cara paling berkesan untuk mengatasi ketidaksamaan dan perbezaan sosioekonomi dalam kalangan ekonomi APEC.

Berita Harian X