Ahad, 26 Julai 2020 | 12:41am
(Gambar fail) Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - NSTP/ZUNNUR AL SHAFIQ
(Gambar fail) Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - NSTP/ZUNNUR AL SHAFIQ

Visi Pasca 2020 APEC dilancarkan akhir tahun

KUALA LUMPUR: Visi Pasca 2020 Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) akan dilancarkan pada akhir tahun seperti yang dijadualkan walaupun ada perubahan dalam format mesyuarat terbabit pada tahun ini.

Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kerja merangka visi itu sedang berada pada tahap lanjutan dengan pegawai kanan mengadakan mesyuarat berkala untuk tujuan berkenaan.

"Pegawai kanan daripada 21 ekonomi APEC yang diterajui pengerusi Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) Malaysia, telah mengadakan dua pertemuan, setakat ini, di Langkawi pada Disember 2019 dan Putrajaya pada Februari lalu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media maya selepas mempengerusikan mesyuarat digital pertama untuk Menteri Perdagangan APEC, di sini, semalam.

Mohamed Azmin berkata, seperti Matlamat Bogor, ekonomi APEC menjangka tuan rumah berikutnya, iaitu New Zealand dan Thailand, memberi lebih banyak hala tuju untuk pelaksanaan visi itu dengan merangka pelan tindakan dan strategi sehingga ia siap sepenuhnya mengikut tempoh ditetapkan.

Beliau berkata, pemimpin APEC akan meneliti Visi Pasca 2020 pada Disember depan.

"Menurut kalendar APEC 2020, pegawai kanan akan mengadakan empat pertemuan lagi sebelum mengemukakan Visi Pasca 2020 kepada Menteri-menteri APEC, yang akan dilancarkan pemimpin terbabit pada Disember depan," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X