X
Ahad, 26 Julai 2020 | 12:22am
Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Krisis kesihatan COVID-19 perlu respons pelbagai aspek - Mohamed Azmin

KUALA LUMPUR: Krisis kesihatan COVID-19 memerlukan respons pelbagai aspek dan kepentingannya berada pada tahap tertinggi sepanjang masa, justeru kegagalan bukan satu pilihan, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, dunia berharap Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) akan menawarkan jalan dan mengenal pasti pelbagai tindakan konkrit yang dapat mengatasi impak daripada krisis COVID-19.

"Keutamaan segera kita ialah menyokong Deklarasi Memudahkan Pergerakan Barang-Barang Penting di APEC. Deklarasi ini adalah petunjuk jelas komitmen kita untuk memastikan barangan penting terus dapat diakses walaupun ketika krisis.

"Saya memahami bahawa konsensus mengenai deklarasi ini sukar dicapai untuk satu tempoh. Bagaimanapun pada minggu ini, kita dapat bekerjasama dan akhirnya, menemui penyelesaian yang diterima semua orang.

"Kedua, pegawai kanan kami telah mengemukakan cadangan untuk memudahkan pergerakan penting rakyat merentas sempadan, dalam APEC. Saya berharap kerja pada peringkat pegawai dalam bidang ini akan dipercepatkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada mesyuarat digital pertama untuk Menteri Perdagangan APEC, yang dipengerusikannya, di sini, semalam.

Mohamed Azmin berkata, kemajuan telah dicapai dalam Visi Pasca 2020 dan berharap visi itu akan dimuktamadkan pada akhir tahun.

Beliau berkata, APEC perlu mencapai keseimbangan antara melindungi nyawa manusia dengan sumber pendapatan, selain memastikan daya tahan ekonomi.

"Kita juga perlu menunjukkan komitmen lebih baik untuk memastikan peluang ekonomi, penyelesaian teknologi serta sistem penjagaan kesihatan dapat diakses dan mampu untuk semua orang, terutama mereka yang berada dalam sektor ekonomi bukan formal, kumpulan terpinggir serta wanita dan belia," katanya. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X