Selasa, 21 Julai 2020 | 9:08pm
SHERENE Azmi.- Foto/NSTP
SHERENE Azmi.- Foto/NSTP

COVID-19: Pelancongan kesihatan susut 70 peratus

KUALA LUMPUR: Ancaman wabak COVID-19 memberi impak besar terhadap pelancongan kesihatan apabila pendapatan daripada sektor itu dianggarkan menyumbang RM500 juta tahun ini, berbanding RM2 bilion daripada sasaran asal.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC), Sherene Azli, berkata unjuran itu berkurangan lebih 70 peratus bagi tahun ini.

Beliau berkata, rentetan itu, Malaysia menunda inisiatif Tahun Pelancongan Kesihatan Malaysia 2020 dan melalui sasaran pendapatan berkenaan, sekurang-kurangnya bagi tempoh dua tahun lagi.

"Sebelum ini, kita menerima 1.3 juta pelancong kesihatan. Malaysia menjadi pilihan destinasi pelancongan kesihatan nombor satu di dunia dalam kalangan pelancong asing untuk mendapatkan rawatan pelbagai jenis penyakit kerana menawarkan perkhidmatan berkualiti, akses yang mudah dan mampu milik. .

"Daripada jumlah itu, 60 peratus dari Indonesia, diikuti China, India dan rantau Asia Tenggara, selain Amerika Syarikat dan Australia.

"Akibat COVID-19, ada hospital yang bergantung sehingga 60 peratus terhadap pelancong kesihatan, benar-benar terkesan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac lalu, sehingga menjejaskan pendapatan, " katanya kepada BH, di sini hari ini.

Beliau berkata, sektor pelancongan kesihatan kini berada dalam fasa pemulihan selepas kerajaan membenarkan pintu sempadan dibuka bagi tujuan itu, melalui pelaksanaan tiga fasa, mulai 1 Julai .

Katanya, sejak tempoh itu, pihaknya menerima lebih 1,000 permohonan daripada pesakit luar yang ingin mendapatkan rawatan di negara ini, namun kebenaran diberikan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi memastikan tiada penularan COVID-19 dari kluster import.

"Menerusi fasa satu, SOP ditetapkan hanya membabitkan penerbangan sewaan atau pemindahan perubatan dibenarkan dengan kes dibawa masuk sebelum ini membabitkan pesakit kanser.

"Kita sudah memasuki fasa dua, dengan membenarkan kemasukan pelancong kesihatan membabitkan penerbangan komersial dari enam negara iaitu Brunei, Singapura, New Zealand, Australia, Jepun dan Korea Selatan dengan SOP ditetapkan, " katanya.

Beliau berkata, MHTC akan meneruskan penyusunan semula strategi sejajar dengan situasi semasa supaya sektor ini dapat terus menyumbang kepada ekonomi negara ditambah dengan peranan dimainkan kerajaan yang berjaya melaksanakan langkah kawalan efektif menyebabkan pesakit antarabangsa melihatnya sebagai satu jaminan bagi mereka menerima rawatan di sini.

Katanya, Malaysia kelebihan dalam sektor pelancongan kesihatan di mana negara menjadi destinasi pelancongan nombor satu membabitkan jumlah kunjungan dengan 1.3 juta jumlah pelancong, tahun lalu.

"Sejak sedekad lalu, industri pelancongan kesihatan Malaysia mencatatkan perkembangan pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 17 peratus antara 2015 hingga 2019 berbanding prestasi Asia Pasifik (APAC) 12 hingga 14 peratus CAGR untuk tempoh yang sama.

"Kerajaan mengiktiraf usaha MHTC mempromosikan industri pelancongan kesihatan kita ke luar negara untuk menarik lebih ramai pesakit antarabangsa.

"Kami berharap, selepas tempoh PKP tamat, Malaysia boleh menyambung semula usaha yang kami laksanakan sebelum ini dengan menggiatkan promosi dalam talian, meningkatkan kecekapan proses permohonan dan saringan pesakit antarabangsa serta mengeratkan hubungan dengan pihak berkepentingan, " katanya.

Beliau berkata, dalam menuju fasa pemulihan itu, pelbagai inisiaitif diambil antaranya memanfaatkan kemudahan digital termasuk e-farmasi dan perkhidmatan rundingan atas talian terhadap pesakit luar sedia ada.

Sementara itu, Sherene berkata, dalam usaha menyokong industri pelancongan, MHTC juga menganjurkan Majlis Anugerah Media Perubatan (MTMA) 2020 dengan menawarkan hadiah sehingga RM80,000.

Katanya, anugerah untuk tahun kedua itu membabitkan tiga kategori iaitu Laporan Cetakan Terbaik, Wartawan Pelancongan Perubatan Terbaik dan Pasukan Editorial Pelancongan Perubatan Terbaik dan penyertaan dibuka hingga 5 September ini.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X