Selasa, 21 Julai 2020 | 5:21pm
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (lapan dari kanan) berkenan bergambar bersama 11 penerima BYDPA 2020/2021 di Istana Negara, hari ini. - FOTO BERNAMA
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (lapan dari kanan) berkenan bergambar bersama 11 penerima BYDPA 2020/2021 di Istana Negara, hari ini. - FOTO BERNAMA

Agong berkenan kurnia BYDPA kepada 11 pelajar IPT

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan mengurniakan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2020/2021 kepada 11 penuntut institusi pengajian tinggi (IPT), di Istana Negara, di sini, hari ini.

Enam penerima biasiswa itu bagi pengajian ijazah Doktor Falsafah (PhD) ialah pelajar Rehabilitasi Pediatrik (Kanak-kanak) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Noor Amiera Alias; Amalina Hanani Ismail (Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, Imperial College of London); Muhammad Hafizul Hazmi Wahab (Sains Komputer, Universiti Putra Malaysia/UPM); Ong Yi Ni (Kimia, University of Oxford); Bryan Lim Wei Tern (Kecerdasan Buatan dan Robotik, Imperial College of London); dan K Sivasanghari (Kejuruteraan Aeroangkasa, UPM).

Pelajar menerima biasiswa itu bagi pengajian ijazah sarjana pula ialah Mohamad Khairul Hafizi Rahimi (Kejuruteraan Elektrik, UKM); Nur Khairina Khairu Najihan (Mekatronik, University of Tokyo); Farah Syazana Aspar (Jurisprudens dan Etika Perubatan, University of Melbourne); Rohaisha Jamil (Undang-undang, King's College London); dan Low Suey Yee (Parasitologi, UPM).

Setakat 2019, BYDPA telah menaja 161 pelajar, iaitu 82 untuk pengajian peringkat PhD dan 79 individu pada peringkat sarjana membabitkan empat bidang utama, iaitu Sains dan Teknologi, Ekonomi, Undang-undang serta Kewangan Islam.

BYDPA mula diperkenalkan pada 2006 dan sebanyak 14 sesi penawaran bagi pengajian pada peringkat sarjana dan PhD.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman, ketika ditemui pemberita berkata biasiswa berkenaan mengiktiraf kebolehan luar biasa pelajar Malaysia, antaranya dalam bidang akademik dan kokurikulum.

"Saya berharap semua penerima biasiswa ini akan membawa nama yang baik dan pulang dengan kejayaan cemerlang kerana mereka membawa nama institusi Yang di-Pertuan Agong ketika pengajian mereka.

"Saya berdoa mereka berjaya dalam pengajian dan kembali berkhidmat kepada negara dan raja," katanya.

Penerima biasiswa bagi PhD, Wei Tern, 24, berkata beliau berharap akan menyumbang semula kepada negara dalam bidang kecerdasan buatan apabila tamat pengajian dan pulang ke tanah air kelak.

"Memang gembira kerana tanpa biasiswa ini, saya memang tidak boleh melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD. Justeru, saya memang berasa bangga dan akan melakukan yang terbaik" katanya yang juga bekas pemain tenis negara.

Mohamad Khairul Hafizi, 24, pula berhasrat menjadi pendidik dalam bidang kejuruteraan selepas menamatkan pengajian sarjana nanti.

Beliau yang berasal dari Kelantan, berharap dapat menyumbang kembali kepada negara dengan mendidik generasi akan datang untuk meminati dan mempelajari bidang sains dan teknologi. – BERNAMA

Berita Harian X