X
Ahad, 19 Julai 2020 | 9:07am

'Secara prinsipnya kita kekal di negeri didominasi setiap parti'

JOHOR BAHRU: PAS berkata Perikatan Nasional (PN) pada dasarnya bersetuju setiap parti akan mengekalkan kerusi di negeri yang didominasi mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberi jaminan proses rundingan kerusi itu boleh diselesaikan dengan baik.

"Proses rundingan kerusi akan berjalan dan mengambil masa tetapi kita yakin boleh selesai dengan baik.

"Secara prinsipnya kita akan kekal di negeri-negeri yang didominasi setiap parti," katanya selepas melancarkan Jentera Pilihanraya PAS Johor, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin.

Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata, sebarang isu perbezaan pendapat berhubung pengagihan kerusi diyakini boleh diselesaikan oleh Majlis Presiden dan Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional secara harmoni.

Sehubungan itu Tuan Ibrahim menyifatkan, pandangan sesetengah pemimpin UMNO yang tidak bersetuju sekiranya Kedah dan Terengganu diserahkan 'bulat-bulat' kepada PAS pada PRU-15, sebagai pandangan peribadi pemimpin berkenaan.

"PAS tidak mempunyai masalah mengenainya (pandangan itu). Pandangan daripada individu itu dianggap pandangan peribadi masing-masing, kita tidak boleh sekat pandangan masing-masing" katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata mesyuarat yang disertai UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan memperincikan pengagihan kawasan yang akan ditandingi setiap parti dalam semangat kemuafakatan bersama.

"Ahad lalu PN sudah melancarkan pembentukan jawatankuasa bersama di peringkat Parlimen dan negeri di ibu negara bagi menggerakkan jentera parti bersama.

"Kini rundingan di peringkat parti masing-masing sedang berjalan mengenai agihan kerusi dan kawasan PRU-15.

"Ia akan diikuti dengan mesyuarat jawatankuasa bersama UMNO, PAS dan BERSATU mengenai pengagihan kerusi yang akan diperincikan lebih lanjut dalam masa terdekat," katanya.

Mengenai persiapan PRU-15, Tuan Ibrahim berkata parti itu sudah bersedia menghadapinya dan sedang menggiatkan usaha menambah keanggotaan di setiap negeri.

"Kalau tengok dalam kerjasama antara PAS dan UMNO serta parti-parti lain (komponen), kita yakin kita akan tambah kemenangan kita.

"Sebab kalau dahulu UMNO dan PAS bersendirian pun kita sudah capai kemenangan, sekarang dengan gabungan PN, kita yakin kita akan dapat lebih baik dari sebelum ini," katanya.

Sekretariat UMNO, PAS dan BERSATU buat kali pertama secara formal mengadakan mesyuarat pada 30 Jun lalu.

Setiausaha Bersama Sekretariat Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa, dilaporkan berkata mesyuarat berkenaan disertai lima wakil bagi setiap parti.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dilaporkan berkata, di peringkat parti antara UMNO dan PAS mengadakan mesyuarat berterusan setiap dua minggu memandangkan pihaknya sudah membuka sekretariat Muafakat Nasional.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hadir perjumpaan tertutup bersama pimpinan PAS Johor sebelum melancarkan Jentera Pilihanraya PAS Johor di Dewan Jubli Perak, Bandar Baru UDA. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hadir perjumpaan tertutup bersama pimpinan PAS Johor sebelum melancarkan Jentera Pilihanraya PAS Johor di Dewan Jubli Perak, Bandar Baru UDA. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin
Berita Harian X