Jumaat, 17 Julai 2020 | 5:25pm
Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan.
Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan.

i-Guru sokong tak sambung PPSMI

SEREMBAN: Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) yakin pengajaran dan pembelajaran (PdP) Sains dan Matematik dalam bahasa kebangsaan terbukti lebih berkesan penggunaan bahasa Inggeris.

Sambil menyambut baik langkah kerajaan untuk tidak memperkenalkan semula Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Presiden i-Guru, Mohd Azizee Hasan, berkata sejarah dalam pendidikan negara juga membuktikan bahawa subjek sains dan matematik telah diajar dalam Bahasa Melayu sejak tahun 70-an dengan jayanya tanpa sebarang masalah.

"I-Guru menyokong usaha mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris di sekolah sebagai persediaan menghadapi pasaran kerjaya dunia yang meluas tetapi menyangkal faktor pengangguran disebabkan ketidakupayaan penguasaan dalam bahasa Inggeris.

"Kita sokong langkah kerajaan tidak memperkenalkan semula PPSI, kerana ia selari dengan hasrat pertubuhan itu yang sudah lama menentang pelaksanaan PPSMI yang bermula dari 2003 hingga 2012," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin, dalam jawapan bertulis beliau di Parlimen menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan tidak bercadang meneruskan PPSMI.

Mengulas lanjut, Mohd Azizee berkata, kegagalan PPSMI dari 2007 hingga 2011 terbukti dalam ujian antarabangsa iaitu Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) apabila menjunam hampir 100 mata di bawah purata dunia.

Bagi Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA), beliau berkata, Malaysia juga turut merosot walaupun memilih murid-murid dari program dwibahasa (DLP) Bahasa Inggeris untuk menduduki ujian berkenaan.

"Peningkatan prestasi hanya dapat dilihat kembali pada 2015 selepas PPSMI dimansuhkan pada 2012," katanya.

Beliau berkata, persatuan itu juga berharap kenyataan bertulis menteri berkenaan sebagai langkah pihak kementerian mencari kaedah terbaik untuk meningkatkan penguasaan Sains dan Matematik serta memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris melalui pedagogi terbaik dan berkesan.

"Menjadikan Sains dan Matematik sebagai sasaran bukanlah jalan penyelesaian terbaik tetapi menyiapkan pelajar yang mempunyai kompetensi penguasaan pelbagai bahasa termasuk bahasa Inggeris, adalah jalan membina laluan kerjaya masa depan.

"Ia selaras dengan apa yang termaktub di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia. Justeru, i-Guru berharap sebarang keputusan berkaitan dasar pendidikan negara tidaklah dilakukan secara terburu-buru tetapi perlu mengambil kira pelbagai aspek demi masa depan generasi hari ini dan akan datang," katanya.

Berita Harian X