Khamis, 16 Julai 2020 | 2:27pm
Kellie’s Castle antara 30 lokasi pelancongan terpilih di seluruh Perak untuk program Perak Virtual Run 2020 sejauh lima kilometer
Kellie’s Castle antara 30 lokasi pelancongan terpilih di seluruh Perak untuk program Perak Virtual Run 2020 sejauh lima kilometer

2,000 bakal sertai Perak Virtual Run 2020, program sukan pelancongan

IPOH: Seramai 2,000 peserta bakal menyertai Perak Virtual Run 2020 sejauh lima kilometer (km) yang akan diadakan selama sebulan di 30 lokasi pelancongan terpilih seluruh negeri, bermula 1 Ogos depan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi, berkata program berkonsepkan sukan pelancongan itu julung kali diadakan di Malaysia bertujuan untuk menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan ke-63, kali ini.

Antara lokasi terbabit ialah Tambun, Gua Tempurung, Bagan Datuk, Lumut, Parit, Taman Tasik Taiping, Kellie's Castle, Bandar Muallim dan Teluk Intan.

"Program inisiatif kerajaan negeri dan Tourism Perak ini juga bertujuan mempromosi dan menjadikan Perak sebagai destinasi pelancongan sepanjang Ogos ini," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Perak Virtual Run 2020 sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-63 di Lost World Of Tambun, di sini, hari ini.

Beliau berkata, peserta perlu memilih mana-mana 30 lokasi yang ditetapkan selain perlu menamatkan larian lima km itu bagi melayakkan mereka memperoleh kit cenderahati berupa kemeja-T dan medal.

"Sebagai contoh, kalau saya pilih Kellie's Castle di Batu Gajah, saya perlu habiskan larian lima km mengikut laluan yang ditetapkan di situ. Apabila sudah menamatkan larian, kita perlu muat naik keputusan larian melalui aplikasi yang akan ditetapkan oleh pihak penganjur.

"Selepas itu, sekiranya penganjur berpuas hati dengan larian yang dibuat, mereka akan hantar kit cenderamata selepas sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini," katanya.

Mengulas mengenai 30 lokasi yang dipilih, Nolee Ashilin berkata, selain memperkenalkan produk pelancongan Perak, pemilihan itu juga bagi memastikan keselesaan dan mengelak perkara di luar jangka seperti kesesakan.

"Kita buat banyak lokasi sebab kita tak mahu tempat itu penuh sesak dengan orang ramai. Pada masa yang sama, keadaan juga akan jadi terkawal dan peserta akan selesa untuk melakukan larian," katanya.

Selain itu, Nolee Ashilin berkata, yuran sebanyak RM60 ditetapkan dan pendaftaran boleh dibuat melalui laman sesawang http://meoscmalaysia.com/perak-virtual-run-2020 atau Facebook Tourism Perak. – BERNAMA

Berita Harian X