Selasa, 14 Julai 2020 | 11:54pm

Program kejuruteraan petroleum UTP ke-21 terbaik dunia

KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi Petronas (UTP) disenarai antara universiti kejuruteraan terbaik dunia dalam Ranking Universiti Dunia Quacquarelli Symonds (QS) oleh Subject 2020, yang dikeluarkan baru-baru ini.

UTP dalam kenyataan hari ini memaklumkan, dua daripada program kejuruteraan universiti itu menduduki carta 50 terbaik dengan program kejuruteraan petroleum di kedudukan ke-21 dunia.

"Kedudukannya bersama National University of Singapore (NUS), Stanford University, Texas A&M University dan Imperial College London. Antara universiti di Asia Tenggara, UTP berkedudukan kedua di belakang NUS dan pertama di Malaysia," menurut kenyataan itu.

Ranking itu juga meletakkan UTP sebagai universiti ke-42 terbaik dunia dan universiti terbaik dalam negara, untuk program kejuruteraan mineral dan perlombongannya.

Enam program lain juga termasuk dalam ranking itu iaitu Kejuruteraan Kimia (terbaik 150), Kejuruteraan Awam (terbaik 200), Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (terbaik 250), Kejuruteraan Mekanikal (terbaik 300), Sains Komputer dan Informasi Sistem (terbaik 400) dan Kimia (terbaik 550).

Naib Canselor Universiti Teknologi Petronas (UTP), Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib. - NSTP/Saddam Yusoff
Naib Canselor Universiti Teknologi Petronas (UTP), Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib. - NSTP/Saddam Yusoff

Naib Canselor UTP, Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib, berkata ranking terkini itu menonjolkan kekuatan UTP dalam pelbagai bidang mata pelajaran dan ia satu indikasi mengenai standard dan kualiti kursus ditawarkan universiti.

"Prestasi menunjukkan bagaimana kami dinilai komuniti akademik antarabangsa dan bagaimana graduan kami diterima dengan baik oleh majikan seluruh dunia," katanya.

Sebagai anak syarikat milik penuh syarikat minyak dan gas nasional Malaysia, Petronas, UTP melahirkan lebih 19,000 graduan dan pada masa ini mempunyai lebih 1,200 pelajar yayasan, 6,000 sarjana dan 1,200 siswazah, dari lebih 60 negara seluruh dunia. - BERNAMA

Berita Harian X