Isnin, 13 Julai 2020 | 11:19am

Perubahan tempat duduk Ahli Parlimen

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 yang bermula hari ini, menyaksikan berlaku sedikit perubahan bagi susunan kerusi semua 222 Ahli Parlimen.

Berdasarkan pelan tempat duduk Ahli Parlimen terkini, hanya 174 Ahli Parlimen yang duduk di ruang utama Dewan Rakyat manakala bakinya ditempatkan di galeri awam dan tempat duduk pegawai berikutan prosedur operasi standard (SOP) penjarakan sosial yang ditetapkan bagi membendung penularan COVID-19.

Beberapa Ahli Parlimen kerajaan ditempatkan di galeri awam manakala beberapa Ahli Parlimen pembangkang ditempatkan di tempat duduk pegawai.

Antara yang ditempatkan di galeri awam adalah Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut), Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) dan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti).

Tempat duduk pegawai antaranya menempatkan P Prabakaran (PH-Batu); Datin Dr Tan Yee Kew (PH-Wangsa Maju) dan Pang Hok Liong (PH-Labis).

Bagi kedudukan di ruang utama Dewan Rakyat, tempat duduk kerajaan masih di kanan Speaker di blok A,, B dan C bermula dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; diikuti Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Kanan (Kerja Raya), Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Jidin.

<a href="https://www.parlimen.gov.my/images/webuser/pelan%20tempat%20duduk%20DR/DRseating_update_14072020.pdf" target="_blank">Tempat duduk Ahli Parlimen.</a>
Tempat duduk Ahli Parlimen.

Ahli Parlimen pembangkang dan Bebas ditempatkan di sebelah kiri Speaker di blok E diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) sebagai Ketua Pembangkang diikuti Mohamad Sabu (PH-Kota Raja), Lim Guan Eng (PH-Bagan).

Lebih menarik perhatian adalah kedudukan Datuk Seri Shafie Apdal (WARISAN-Semporna) yang turut ditempatkan di blok pembangkang bersebelahan Guan Eng walaupun sebelum ini mengumumkan berada di blok Bebas bersama Tun Dr Mahathir Mohamad (Bebas-Langkawi).

Dr Mahathir pula duduk di blok D bersama Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Bebas-Jerlun); Dr Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam); Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) dan Datuk Amiruddin Hamzah (Bebas-Kubang Pasu).

Datuk Seri Najib Razak (BN-Pekan) dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) ditempatkan di blok C.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X