Sabtu, 11 Julai 2020 | 9:10pm
Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar. - NSTP/ABDULLAH YUSOF
Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar. - NSTP/ABDULLAH YUSOF

25 rakyat Malaysia selamat tiba dari Nigeria

KUALA LUMPUR: Seramai 25 rakyat Malaysia di Lagos, Nigeria, selamat tiba di tanah air pada jam 9.15 pagi tadi melalui penerbangan repatriasi diatur kerajaan negara itu dengan menggunakan pesawat Air Peace.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar, berkata kepulangan kumpulan kedua rakyat Malaysia itu telah dimudah cara oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Abuja, Nigeria, dengan kos penerbangan ditanggung secara persendirian oleh penumpang.

"Saya bagi pihak Kerajaan Malaysia ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Nigeria yang membantu menjayakan kepulangan kumpulan rakyat Malaysia itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 24 Jun lalu, 27 rakyat Malaysia di Nigeria pulang ke tanah air melalui penerbangan repatriasi anjuran Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menurut kenyataan itu lagi, pesawat hari ini turut dinaiki 67 penumpang dari pelbagai negara yang terkandas di Nigeria sejak pandemik COVID-19, termasuk sembilan warga Australia; Brunei (tiga); Filipina (tiga) dan masing-masing seorang warga China, Indonesia serta Kanada.

Enam warga Nigeria, masing-masing seorang warga Pakistan dan Singapura, Taiwan (sembilan) serta Thailand (32) turut berada dalam pesawat itu yang transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum meneruskan perjalanan pulang dengan penerbangan komersial yang dijadualkan.

Dalam kenyataan sama, Kamarudin yang juga Pengerusi Pasukan Petugas COVID-19 Kementerian Luar, memaklumkan bahawa 11 pelajar Malaysia dari Khartoum, Sudan, telah pulang ke tanah air melalui penerbangan repatriasi Emirates Airlines di KLIA pada jam 3.44 petang tadi.

Katanya, kepulangan kumpulan rakyat Malaysia itu telah dimudah cara oleh Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum dengan kos penerbangan ditanggung secara persendirian oleh penumpang.

Beliau berkata, Kementerian Luar melalui Perwakilan Diplomatik Malaysia di luar negara akan terus memantau situasi semasa dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam usaha memberi bantuan sewajarnya kepada rakyat Malaysia yang terkesan dengan COVID-19. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X