Sabtu, 11 Julai 2020 | 12:44am
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. - FOTO BERNAMA
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. - FOTO BERNAMA

Nik Faisal berada di Hong Kong - Ketua Polis Negara

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil, yang sedang diburu bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana, kini berada di Hong Kong, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah berkali-kali membuat permintaan kepada polis Hong Kong bagi membantu menahannya, namun maklum balas yang diterima adalah negatif.

"Kita sudah membuat permintaan dengan pelbagai cara, ditambah dengan memberikan butiran tertentu. Namun, maklum balas yang kita terima daripada mereka (polis Hong Kong) masih negatif.

"Itu antara kekangan kita untuk membawa balik Nik Faisal," katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, semalam.

Malah, beliau berkata, PDRM sedang menunggu maklum balas polis Hong Kong terhadap permintaan terkini yang dihantar, baru-baru ini.

"Kita menghantar semua maklumat terkini mengenai Nik Faisal di Hong Kong kepada mereka. Kita sedang menunggu maklum balas," katanya.

Mengulas mengenai hubungan PDRM dengan polis Hong Kong, Abdul Hamid berkata sebelum ini, kerjasama diberikan pihak berkenaan adalah amat baik, terutama berkaitan kes jenayah dan komersial.

"Namun bagi kes ini, tidak dapat dipastikan mengapa pihak mereka sukar memberikan kerjasama.

"Mungkin pihak media boleh merujuk mereka mengapa bersikap sedemikian," katanya.

Mengenai lokasi terkini ahli perniagaan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low pula, beliau berkata, ia belum dapat dipastikan tetapi usaha memburunya akan diteruskan.

Berita Harian X