Rabu, 8 Julai 2020 | 7:25pm
Foto NSTP
Foto NSTP

MPPK sokong IPT dibuka berperingkat

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) menyambut baik keputusan kerajaan membuka semula institusi pengajian tinggi (IPT) secara berperingkat mulai bulan ini hingga Oktober depan.

Presiden MPPK, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri, berkata pengumuman awal oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membolehkan pelajar membuat persiapan dan persediaan sebaik mungkin sebelum kembali ke kampus.

Namun, MPPK berharap KPT tidak terlepas pandang dengan masalah yang mungkin dihadapi pelajar terutama berkaitan tempat penginapan serta tiket penerbangan.

"Kita menyokong penuh keputusan kemasukan pelajar sepenuhnya pada Oktober depan. Baki tiga bulan sebelum sesi semester dibuka sepenuhnya membolehkan pelajar membuat persiapan dan persediaan untuk kembali ke kampus," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas keputusan KPT membenarkan pembukaan semula IPT selaras dengan kebenaran Kabinet yang mahu memastikan pengajian pelajar tidak terjejas.

Pengajian di IPT tertangguh sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu yang menyaksikan lebih 100,000 mahasiswa diarahkan menjalani kuarantin di kolej masing-masing bagi mengekang penularan COVID-19.

Muhammad Amir Asyraf turut berkata, MPPK menyambut baik keputusan KPT memberi fleksibiliti kepada IPT menentukan mod pembelajaran termasuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian mengikut keperluan program.

MPPK katanya, turut meminta pelajar yang mempunyai sebarang masalah atau kesulitan untuk kembali ke kampus supaya menghubungi bahagian hal ehwal pelajar (HEP) IPT masing-masing.

"Semua pelajar yang akan pulang ke kampus juga diminta supaya terus mengamalkan penjarakan sosial dan kebersihan diri seperti yang disarankan Kementerian Kesihatan.

"Ini termasuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk semua aktiviti sukan dan riadah seperti ditetapkan kerajaan," katanya.

Berita Harian X