Rabu, 8 Julai 2020 | 5:27pm
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (tengah) pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Sistem Pengosongan Perangkap Lemak, Minyak dan Gris (FOG) oleh Indah Water Konsortium (IWK) bagi mengelakkan pencemaran di Kementerian Alam Sekitar dan Air Putrajaya. Turut hadir Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Senator Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad (tiga kanan) dan Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang (kanan). - Foto Luqman Hakim Zubir

Operator penyedia makanan diarah urus sisa dengan baik

PUTRAJAYA: Kementerian Alam Sekitar dan Air menerima 200 aduan berkaitan pencemaran pembuangan sisa makanan, lemak dan gris (FOG) dalam sistem perparitan dan paip pembetungan awam, selepas 16 hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata perbuatan tidak bertanggungjawab itu sekali gus melanggar syarat mengosongkan sistem perangkap minyak sebelum boleh lesen premis dibenar diperbaharui oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Justeru, beliau menggesa semua operator dan industri penyediaan berasaskan makanan memastikan sisa berkenaan diuruskan dengan baik bagi mengelak gangguan terhadap proses rawatan di loji kumbahan serta pencemaran alam sekitar.

"Ada juga kontraktor yang dilantik oleh pelanggan mengambil jalan mudah dengan melupuskan sisa FOG secara haram ke dalam paip pembetungan.

"Jadi kita mahu tingkatkan kesedaran awam, sekiranya ia tidak diselia dengan sebaiknya ia akan memberi impak kepada sistem pembetungan di negara ini," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Perkhidmatan Pengosongan Sistem FOG untuk Premis Komersil dan Industri oleh Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd.

Pada masa sama, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya berharap perkhidmatan mengumpul, merawat dan melupus sisa FOG yang ditawarkan IWK dapat memastikan semua sisa berkenaan dirawat mengikut piawaian alam sekitar.

"Perkhidmatan yang ditawarkan oleh IWK ini sejajar dengan hasrat kerajaan dalam Pelan Induk Teknologi Hijau iaitu mensasarkan kitar semula sisa kumbahan pada kadar lebih tinggi menjelang 2030 dan inisiatif IWK ini dilihat akan membantu mencapai sasaran berkenaan," katanya.

Berita Harian X