Selasa, 7 Julai 2020 | 11:53am

Garis panduan badal haji akan dikeluarkan

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengeluarkan garis panduan khusus berhubung tawaran perkhidmatan badal haji selepas mengadakan beberapa siri pertemuan dengan pihak pengurusan Tabung Haji (TH).

Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata pihaknya bersama TH akan berbincang mengenai penyelarasan harga pakej perkhidmatan itu bagi mengelakkan pihak tertentu mengambil kesempatan untuk menipu.

"Perkhidmatan itu sudah ada sekian lama, bukan satu dua hari ini, saya pernah terbabit dengan isu ini ketika menjadi pengerusi panel ibadat haji beberapa tahun lalu.

"Sejujurnya saya merasakan amat perlu diambil tindakan dalam isu ini. Kita akan adakan beberapa perjumpaan dengan TH, kita akan bincang anggaran harga perkhidmatan itu, selain prosedur dan proses perjalanan.

"TH sudah melakukan proses yang baik membabitkan ibadat itu. Sekarang ini, kita mahu tengok garis panduan dan peraturan. Kita mahu ibadat haji dilaksanakan dengan sebaiknya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Cuci-Cuci Masjid dan Musa'adah COVID-19 di Masjid Al-Khasyi'in, Desa Petaling di sini, hari ini.

Zulkifli (dua dari kiri) pada pelancaran Program Cuci-Cuci Masjid dan Musa’adah COVID-19 di Masjid Al-Khasyi’in, Desa Petaling, hari ini. - NSTP/Mustaffa Kamal
Zulkifli (dua dari kiri) pada pelancaran Program Cuci-Cuci Masjid dan Musa’adah COVID-19 di Masjid Al-Khasyi’in, Desa Petaling, hari ini. - NSTP/Mustaffa Kamal

Ditanya kewajaran perkhidmatan badal haji ditawarkan agensi pelancongan berikutan situasi terkini, Zulkifli berkata, tiada isu berbangkit mengenai perkara itu.

"Yang menjadi masalah tidak sampai ke sasaran, maksudnya tak laku atau buat lebih kurang (tidak beri perkhidmatan memuaskan kepada pelanggan).

"Kaedah dibuat TH membabitkan isu ini adalah yang terbaik termasuk isu kos.

"Dari Makkah ke Arafah ke Mina, duduk di Mina tiga hari tiga malam lepas itu melontar (jamrah), tetapi suasana haji beza. Mungkin musim lain caj RM10 tetapi musim haji ratusan ringgit. Kita kena ambil kira perkara itu," katanya.

Kelmarin, BH melaporkan tawaran perkhidmatan badal haji pada tahun ini oleh pihak tertentu bukan sahaja meragukan, bahkan disifatkan sebagai cubaan menipu.

Sehubungan itu, umat Islam di negara ini diingatkan supaya berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran sedemikian.

Penularan pandemik COVID-19 menyebabkan pihak berkuasa Arab Saudi begitu berhati-hati dan dilaporkan mungkin hanya akan membenarkan antara 1,000 hingga 10,000 jemaah, berbanding 2.5 juta jemaah pada tahun lalu.

Mengikut Islam, badal haji atau upah haji diharuskan syarak bagi seseorang Islam yang terhalang menunaikan haji kerana penyakit, usia tua dan kematian atau waris mereka memberi upah kepada orang lain untuk melaksanakan ibadat berkenaan.

Antara syaratnya, badal haji dilakukan oleh seseorang yang sudah mengerjakan haji untuk dirinya sendiri.

Zulkifli (tengah) menyampaikan replika cek sumbangan kepada Pengerusi Masjid Al-Khasyi'in, Desa Petaling Mustapha Abdullah (kanan) ketika Program Cuci-Cuci Masjid dan Musa’adah COVID-19 di Masjid Al-Khasyi’in, Desa Petaling, hari ini. - Foto BERNAMA
Zulkifli (tengah) menyampaikan replika cek sumbangan kepada Pengerusi Masjid Al-Khasyi'in, Desa Petaling Mustapha Abdullah (kanan) ketika Program Cuci-Cuci Masjid dan Musa’adah COVID-19 di Masjid Al-Khasyi’in, Desa Petaling, hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X