Sabtu, 4 Julai 2020 | 2:56pm
Gambar hiasan. - Foto NSTP
Gambar hiasan. - Foto NSTP

Solat Jumaat hanya satu sesi

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) memutuskan hanya satu sesi solat Jumaat diadakan, sekali gus bertepatan dengan mazhab Shafie dan suasana negara ketika ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata berikutan itu, jemaah dibenarkan untuk menunaikan solat dalam masjid, ruang tepi dan kawasan sesuai dengan prosedur operasi standard (SOP), iaitu penjarakan sosial.

Beliau berkata, solat Jumaat dua sesi secara rasminya tidak dilaksanakan di Wilayah Persekutuan dan tetap dengan satu sesi saja.

"Malah bagi jemaah yang ingin menunaikan solat Jumaat, mereka boleh melaksanakannya di surau terpilih," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, surau yang mahu mengadakan solat Jumaat perlu merujuk dan memohon kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) serta Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Terdahulu Zulkifli merasmikan Projek Infaq Daging Kolaborasi Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan Mitron Group Sdb Bhd untuk diedarkan kepada golongan memerlukan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, di sini.

Menerusi program itu, sebanyak tiga kilogram daging diagihkan untuk 3,000 penerima di lapan lokasi yang dilaksanakan secara serentak bersamaan dengan nilai RM315,000.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff dan Pengarah Urusan Mitron Group Sdn Bhd, Dr Ahmad Rusydi Mohamad.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X