Jumaat, 3 Julai 2020 | 1:41pm

Tragedi bot terbalik: Kawasan pencarian mangsa hilang diperluas

BACHOK: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memperluas kawasan pencarian dua mangsa yang masih hilang dalam tragedi bot terbalik berhampiran perairan Kuala Kemasin pada Isnin lalu, sehingga membabitkan keluasan 450 batu nautika persegi.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini turut tertumpu kepada sektor kawasan mayat keenam ditemui, petang semalam.

Operasi SAR membabitkan pelbagai agensi diteruskan pada hari kelima tragedi bot terbalik. - FOTO BERNAMA
Operasi SAR membabitkan pelbagai agensi diteruskan pada hari kelima tragedi bot terbalik. - FOTO BERNAMA

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob, berkata sebanyak 15 aset daripada semua agensi SAR terbabit, digerak bagi meneruskan pencarian yang memasuki hari kelima.

Semalam, beliau berkata, mayat Harun Daud, 57, ditemui pada jarak tepat 20 batu nautika dari Kuala Kemasin berikutan kedudukan bot beralih selepas kejadian ribut.

"Mangsa keenam ditemui pada titik kedua lokasi bot terbalik, kira-kira lima batu nautika jika dikira lokasi mayat kelima dan bot itu berada, selepas kedudukan beralih.

"Mangsa ditemui di kedudukan ke arah timur laut, justeru sektor pencarian hari ini tertumpu kepada petunjuk semalam yang lebih efektif dan berkesan untuk pasukan SAR," katanya kepada pemberita di Jeti Perikanan Kemasin, di sini, hari ini.

Beliau berkata, usaha turut berpandu kepada penemuan beg dipercayai milik mangsa bot terbalik, selain meneruskan pencarian petunjuk baharu dalam sektor dirasakan logik bagi memperhebat operasi SAR.

"Cabaran utama yang kita hadapi ialah laut yang luas dan awan kelihatan tebal, hari ini. Kita menjangka berdepan cabaran cuaca yang menjadikan masa terhad untuk membuat rondaan.

"Jika cuaca di laut bertukar, kita terpaksa membatalkan operasi SAR," katanya.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata, operasi hari ini membabitkan 80 anggota dan pegawai SAR, manakala kaedah pencarian 'parallel track' atau ulang-alik dikekalkan sebagai modus operandi pencarian mangsa.

"Selain itu, kita menyediakan pakar psikologi bagi memberi sokongan moral kepada keluarga mangsa," katanya yang turut turun padang dalam operasi SAR di laut sejak kejadian berlaku.

Dua lagi mangsa belum ditemui ialah biras kepada tekong, Arman Ismail, 43, dan pekerja bot, Che Wadi Bakar, 40-an.

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob (kanan), dalam operasi mencari dua lagi mangsa bot terbalik yang masih hilang. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob (kanan), dalam operasi mencari dua lagi mangsa bot terbalik yang masih hilang. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Berita Harian X