Jumaat, 3 Julai 2020 | 11:47am
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

COVID-19: Wajib bayar fi ujian pengesanan

KUALA LUMPUR: Berkuat kuasa Isnin lalu, semua individu yang masuk ke negara ini perlu membayar fi ujian pengesanan COVID-19 sebelum mendapat pelepasan imigresen.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata kadar bayaran yang dikenakan adalah mengikut tiga jenis ujian yang ditetapkan kementerian iaitu ujian tindak balas berantai polimerase, kit ujian pantas antigen dan kit ujian pantas antibodi.

Katanya, warganegara Malaysia perlu membayar RM150 bagi ujian tindak balas berantai polimerase dan RM60 bagi kit ujian pantas antigen manakala kit ujian pantas antibodi adalah RM30.

Sementara itu bagi warga asing, beliau berkata, bayaran dikenakan ialah RM250 bagi ujian tindak balas berantai polimerase, kit ujian pantas antigen (RM120) dan RM60 untuk kit ujian pantas antibodi.

"Penetapan fi ujian pengesanan COVID-19 ini dibuat mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Fi Bagi Ujian Pengesanan Penyakit Koronavirus 2019) 2020 yang berkuat kuasa pada 29 Jun lalu.

"Selaras dengan penguatkuasaan peraturan itu, mana-mana warganegara atau orang asing yang memasuki Malaysia hendaklah membayar fi bagi ujian pengesanan COVID-19 sebelum mendapat pelepasan imigresen di mana-mana pintu masuk negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menjelas lanjut, Dr Adham berkata, ujian pengesanan COVID-19 di pintu masuk antarabangsa dan kemudahan kementerian akan menggunakan teknik tindak balas berantai polimerase atau kit ujian pantas antigen mengikut kesesuaian semasa.

Ketika ini, ujian kit, ujian pantas antibodi digunakan ke atas individu yang diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah pada hari ke-13, sebelum mereka dilepaskan dari perintah berkenaan pada hari ke-14

Bagaimanapun katanya, pengecualian fi ujian pengesanan itu diberikan kepada tiga golongan iaitu pegawai kerajaan yang pulang dari luar negara atas tugasan rasmi dengan mengemukakan surat arahan sebagai bukti.

"Turut mendapat pengecualian ialah orang kurang upaya (OKU) yang mempunyai kad OKU serta pelajar negara tajaan sendiri atau yang menerima penajaan dan kembali ke Malaysia buat kali pertama.

"Pengecualian ini tidak terpakai kepada ahli keluarga pegawai dan ahli keluarga OKU. Pelajar pula perlu mengemukakan bukti pengajian untuk mendapat pengecualian ini," katanya.

Dr Adham berkata, rakyat dan warga asing boleh meminta untuk menjalani ujian pengesanan COVID-19 di semua hospital atau klinik kerajaan serta perlu membayar fi bagi ujian pengesanan itu.

Berita Harian X