Rabu, 1 Julai 2020 | 7:20pm
Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kapten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob (kiri) berbincang dengan pegawai operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga mangsa yang masih hilang dalam kejadian bot terbalik di perairan Kuala Kemasin. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kapten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob (kiri) berbincang dengan pegawai operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga mangsa yang masih hilang dalam kejadian bot terbalik di perairan Kuala Kemasin. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Sah mangsa hilang tiada dalam bot, operasi tumpu di lautan

BACHOK: Tiga mangsa yang masih hilang dalam insiden bot terbalik di perairan Kuala Kemasin, di sini, kelmarin disahkan tiada dalam bot, sekali gus operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini tertumpu sepenuhnya di lautan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan, Kepten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob, berkata tiada sebarang petunjuk ditemui pada bot selepas pemeriksaan menyeluruh dilakukan di dalam dan bahagian luar bot.

Justeru katanya, pencarian dan selaman di bot berkenaan dihentikan dan semua agensi SAR kini ditugaskan di lautan, pesisir pantai dan sempadan perairan Thailand.

"Kita sudah buat dua kali selaman dan tiada petunjuk baharu ditemui, bot juga tidak besar, jadi kita rumuskan mangsa sah tiada dalam bot dan kita teruskan pencarian di laut lepas dan hentikan fokus ke bot.

"Kita sudah memeriksa rumah kemudi, enjin bot dan kita boleh tengok dengan jelas keberadaan mangsa jika ada, sebab itu kita buat keputusan memang tiga mangsa yang hilang tiada dalam bot dan hanyut di laut," katanya dalam sidang media di Jeti Perikanan Kemasin, di sini, hari ini.

Beliau berkata, operasi SAR di laut diperluas membabitkan radius kawasan pencarian daripada 324 batu nautika persegi kepada 351.6 batu nautika persegi.

"Kaedah pencarian yang kita gunakan adalah secara 'parallel track' atau ulang-alik untuk pencarian dalam kawasan besar.

"Walaupun SAR ditamatkan jam 6 petang ini tapi bagi aset di laut kita tetap bertugas 24 jam sehingga kesemua mangsa ditemui," katanya.

Beliau berkata, selain membuat pencarian, pihaknya turut melakukan 'temuduga'di laut bersama nelayan yang ditemui sekiranya mereka ada terjumpa atau ternampak sebarang petunjuk yang membabitkan kejadian bot terbalik itu.

"Pesawat di udara digunakan untuk mencari di kawasan lebih luas, selain kita juga dapatkan bantuan nelayan dan pemancing di perairan Kelantan dan Thailand selain kita sudah membuat permohonan bantuan dan memaklumkan kejadian kepada penguat kuasa Thailand.

"Hari ini kita tidak berdepan cabaran besar kerana cuaca dalam keadaan baik, sebaliknya yang menjadi cabaran kami adalah keluasan laut," katanya.

Beliau berkata, operasi SAR yang memasuki hari ketiga ini turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), polis marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta bantuan sukarela daripada nelayan tempatan.

"Setakat ini, seramai 20 nelayan tempatan turut menawarkan diri dan membantu kami mencari mangsa dan saya hargai setiap kerjasama yang diberikan semua pihak bagi mencari mangsa," katanya.

Sementara itu, ahli keluarga mangsa, Sufri Daud, 60, berkata, sebaik mengetahui mangsa tidak ditemui dalam bot, perasaannya bercampur baur antara gembira dan takut.

"Saya gembira jika mereka tiada di bot, mungkin adik (Harun Daud, 57) ada peluang selamatkan diri, namun risau memikirkan keluasan laut.

"Kalau ikutkan hati, kami nak dia masih hidup, kalau sudah tiadapun, kami harap dia ditemui untuk disempurnakan supaya pusaranya bertanda, apapun kami reda," katanya.

Beliau berkata, ahli keluarga juga sudah mengadakan solat hajat dan akan terus berdoa dan solat hajat diteruskan di masjid dan surau di Pasir Mas dan Jelawat, Bachok sebagai ikhtiar terakhir mereka.

Tiga lagi mangsa yang belum ditemui adalah Harun dan dua krew bot, Arman Ismail, 43 dan Che Wadi Bakar, 40-an.

Dalam kejadian jam 8.30 malam Isnin lalu, bot yang dinaiki 20 individu termasuk pemancing dan awak-awak terbalik akibat ombak besar dan ribut.

Susulan kejadian itu, 12 individu berjaya menyelamatkan diri dan lima individu ditemui meninggal dunia iaitu Wan Aminuddin Wan Hussin, 63; Mohd Syafizam Daud, 43; Muhammad Zaki Muhamad Nordin, 32; Pok Ta berusia 50-an dan Shafiq Che Alim, 29, manakala, tiga lagi masih hilang.

Difahamkan, bot terbabit dikatakan berlepas dari jeti Kuala Besar kira-kira jam 3 petang untuk tujuan memancing dan mencandat sotong.

Berita Harian X