X
Rabu, 1 Julai 2020 | 2:03pm
Lee Lam Thye pada majlis penyerahan sumbangan pelekat penjarakan selamat di Masjid UNITEN.
Lee Lam Thye pada majlis penyerahan sumbangan pelekat penjarakan selamat di Masjid UNITEN.

Masjid UNITEN terima 560 pelekat penjarakan selamat

KUALA LUMPUR: Masjid Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) menerima 560 pelekat penjarakan selamat, sejajar pelan tindakan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika solat dalam masjid mengikut normal baharu.

Naib Canselor UNITEN, Prof Datuk Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha, berkata pengagihan pelekat penjarakan selamat itu membabitkan kerjasama dengan Academy of Safety and Emergency Care (ASEC) dan badan bukan kerajaan, Ikatan Komuniti Selamat.

"Pelbagai persiapan perlu dilakukan bagi pembukaan semula masjid kepada orang awam antaranya adalah memasang garisan penjarakan sosial, penyediaan pensanitasi tangan, pembersihan ruang solat dan wuduk, laluan khas masuk dan keluar, semakan suhu badan dan sebagainya.

"Ini adalah sebahagian inisiatif persediaan awal oleh bahagian pengurusan universiti supaya apabila pelajar balik ke kampus, mereka dapat menunaikan solat jemaah dalam keadaan selamat dan kesihatan terjaga," katanya.

Majlis penyerahan pelekat penjarakan selamat disempurnakan Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye yang turut dihadiri Ketua Pegawai Esekutif ASEC, Wong Wee Zee.

Sementara itu, Lam Thye berkata, beliau berharap masyarakat dapat bersama kerajaan menjadi barisan hadapan dalam memerangi COVID-19 dengan menerapkan garis panduan yang ditetapkan dalam kehidupan dan aktiviti harian.

"Saya memuji usaha Academy of Safety and Emergency Care (ASEC) dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyediakan pelekat penjarakan sosial demi keselamatan dan kesihatan pelajar UNITEN.

"Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini adalah tempoh penting bagi semua sektor supaya tidak mencetuskan lonjakan kes baharu COVID-19.

"Kita tidak boleh leka dalam isu keselamatan dan kesihatan. Kita perlu berwaspada pada setiap masa untuk mencegah jangkitan COVID-19," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X