Selasa, 30 Jun 2020 | 9:38pm
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin beramah mesra dan bertukar-tukar pandangan dengan 10 kepemimpinan tertinggi Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) institusi pengajian tinggi tempatan sesi 2020/2021. - Foto ihsan Facebook Muhyiddin Yassin
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin beramah mesra dan bertukar-tukar pandangan dengan 10 kepemimpinan tertinggi Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) institusi pengajian tinggi tempatan sesi 2020/2021. - Foto ihsan Facebook Muhyiddin Yassin

PM bincang dengan MPPK usaha perkasa pendidikan, kebajikan mahasiswa

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengadakan pertemuan dengan kepemimpinan tertinggi Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) institusi pengajian tinggi tempatan sesi 2020/2021 bagi membincangkan usaha memartabatkan mahasiswa, memperkasa pendidikan serta hal berkaitan kebajikan mahasiswa.

Menerusi catatan di laman Facebooknya, Muhyiddin berkata pertemuan kira-kira satu jam itu adalah peluang baginya beramah mesra dan bertukar pandangan dengan lima Yang Dipertua Majlis Perundingan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Teknologi Mara, Universiti Malaysia Perlis dan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Turut hadir, presiden MPP daripada Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUMSU), Kolej Universiti Teknologi Sarawak (UCTS), DRB HICOM University Of Automotive Malaysia (DRB-HICOM U) dan Help University.

"Saya mendengar dengan teliti setiap butiran agenda serta inisiatif yang dibawa dan berpandangan ada beberapa perkara yang dibincangkan boleh diketengahkan kepada kementerian atau pihak bertanggungjawab yang berkenaan untuk tindakan lanjut," katanya.

Pertemuan yang berlangsung di pejabat Muhyiddin itu turut disertai Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad dan Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan dan Pembangunan kementerian, Rosli Yaakob. – BERNAMA

Berita Harian X