Rabu, 24 Jun 2020 | 4:46pm
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib (tengah) meninjau kehadiran pelajar Tingkatan Lima ketika pembukaan sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 7, Shah Alam - Foto Faiz Anuar
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib (tengah) meninjau kehadiran pelajar Tingkatan Lima ketika pembukaan sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 7, Shah Alam - Foto Faiz Anuar

Seronok, teruja kembali ke sekolah

SHAH ALAM: Kembali menjejakkan kaki ke sekolah selepas tiga bulan berada di rumah susulan negara berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuatkan pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7 di sini seronok dan teruja.

Seorang pelajar Tingkatan Lima sekolah terbabit, Suraya Aishah Badrul Hisham, 17, meluahkan kegembiraan dapat belajar kembali secara bersemuka dengan rakan-rakan dan guru-guru.

"Saya gembira sangat dapat jumpa kawan-kawan balik selepas tiga bulan tak ke sekolah, sebab lama belajar 'online', jadi teruja dapat jumpa rakan dan guru, belajar seperti biasa untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Belajar 'online'susah sikit sebab tidak dapat bersemuka, kalau sekarang dapat boleh tanya secara terus di dalam kelas dengan guru," katanya.

Bagi Muhammad Hariz Mohd Sarif, 17 pula, sebaik mendengar pengumuman kerajaan mengenai pembukaan semula sekolah, dia sudah membuat persediaan awal.

"Apabila dapat tahu sekolah akan dibuka pada hari ini, saya sudah buat persiapan awal untuk masuk ke sekolah sejak seminggu lalu, buku, kasut, baju saya sediakan.

"Bagi saya juga, keadaan sekolah selamat untuk kami semua dengan garis panduan yang disediakan, saya teruja untuk kembali belajar," katanya ketika ditemui di SMK Seksyen 7, Jalan Platinum 7/37 di sini, hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib hadir ke program penerangan mengenai PKPP di sekolah terbabit.

Beliau diiringi Pengetua SMK Seksyen 7, Siti Suaibah S Said dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Datuk Mohamad Isa Ishak.

Baharudin berkata, pihaknya berharap sekolah terus mengekalkan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Pendidikan.

"Saya sebagai Ketua Pemantau PKPP, saya dapati SOP yang digariskan kementerian dipatuhi sepenuhnya oleh pihak sekolah.

"Saya berharap ibu bapa tidak perlu risau keadaan kesihatan dan pematuhan PKPP kerana sekolah juga memberi jaminan bahawa setiap pelajar yang datang akan mematuhi SOP itu.

"Kita akan pantau dari semasa ke semasa semua sekolah (di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam) dan kita ada pegawai perhubungan sekolah yang akan memantaunya," katanya.

Sementara itu, Siti Suaibah memaklumkan jumlah keseluruhan pelajar sekolah itu yang menduduki SPM adalah 353 pelajar.

"Alhamdulillah, semua pelajar hadir hari ini, kelas dibahagikan kepada 24 kelas, setiap kelas ada 18 hingga 20 pelajar," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X