Jumaat, 19 Jun 2020 | 8:06pm
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - FOTO BERNAMA
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - FOTO BERNAMA

COVID-19: Aktiviti survelan terus digiatkan bagi pantau penularan

PUTRAJAYA: Aktiviti survelan, termasuk survelan klinikal dan saringan terhadap kumpulan sasar, tetap dijalankan walaupun angka harian kes COVID-19 di Malaysia ketika ini ialah antara satu hingga dua digit.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata angka harian itu, terutama bagi kes penularan di dalam negara yang kerap mencapai satu digit, menandakan Malaysia sudah memasuki fasa pemulihan.

Bagaimanapun, katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) terus menggiatkan aktiviti survelan bagi memantau penularan COVID-19 dalam komuniti pada setiap masa.

Beliau berkata, aktiviti itu membolehkan pengesanan awal kes COVID-19 di Malaysia dan tindakan membendung penularan diambil segera.

"Survelan klinikal dilaksanakan melalui pengambilan sampel untuk saringan COVID-19 secara rawak dari fasiliti kesihatan KKM.

"Setakat minggu epid ke-24 hingga 13 Jun lalu, sebanyak 19,309 sampel kes Penyakit Seperti Influenza (ILI) dan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) telah diambil.

"Sebanyak 15 kes positif COVID-19 (0.7 peratus) dikesan daripada 2,048 sampel kes ILI, serta 76 lagi (0.4 peratus) daripada 17,261 sampel kes SARI," katanya pada sidang media COVID-19, di sini, hari ini.

Malah, Dr Noor Hisham berkata, aktiviti survelan COVID-19 di Malaysia akan diteruskan walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ditamatkan nanti.

Katanya, bagi mempergiat sistem amaran awal penularan COVID-19 pula, 26 Klinik Kesihatan KKM telah ditambah di seluruh negara.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, semua kes positif COVID-19 di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta perlu dimaklumkan kepada KKM berikutan wabak itu sudah didaftar sebagai penyakit yang perlu dinotifikasi bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Seterusnya, beliau berkata, saringan prapembedahan kes kecemasan dan separa kecemasan di hospital KKM hingga 19 Jun lalu mengesan 17 kes positif COVID-19 atau 0.05 peratus daripada 37,756 pesakit terbabit.

Katanya, hasil saringan kumpulan sasar, iaitu aktiviti pendekatan tertumpu yang dijalankan terhadap sembilan kumpulan dikenal pasti pula mendapati Perhimpunan Seri Petaling mencatatkan 3,375 kes positif atau 8.04 peratus daripada 41,955 saringan dijalankan.

"Saringan terhadap pusat tahfiz atau madrasah mendapati 722 kes positif COVID-19 (3.79 peratus) daripada 19,050 saringan, manakala petugas kesihatan pula 363 kes positif (1.27 peratus) daripada 28,512 saringan.

"Lokaliti bawah semua jenis Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mencatat 913 kes positif (2.92 peratus) daripada 31,258 saringan, dan 598 kes positif (1.17 peratus) daripada 51,121 sampel pengembara dari luar negara sejak 3 April lalu," katanya.

Beliau berkata, saringan membabitkan pasar pula mengesan 275 kes positif (0.81 peratus) daripada 34,028 saringan.

Katanya, pekerja bukan warganegara di tapak pembinaan dan sektor keselamatan dalam Zon Merah pula mencatatkan 154 kes positif (9.08 peratus) daripada 1,696 saringan dilakukan.

Beliau berkata, saringan di pusat penjagaan warga emas mengesan 30 kes positif (0.19 peratus) daripada 16,213 saringan.

"Selain itu, 776 kes positif (9.37 peratus) daripada 8,280 saringan di depoh tahanan Imigresen (DTI).

"Daripada jumlah itu, 83 peratus adalah daripada DTI Bukit Jalil," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X