Selasa, 16 Jun 2020 | 2:09pm

Keluarga pesakit COVID-19 meninggal dunia di Qatar terima faedah PERKESO

SUNGAI BULOH: Waris pesakit COVID-19 yang meninggal dunia di Doha, Qatar layak untuk menerima faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata berdasarkan rekod Allahyarham Tengku Endut Tengku Jusoh, 53, pernah mencarum ketika berkhidmat dengan Sistem Penerbangan Malaysia Berhad (MAS) melebihi 10 tahun sebelum bertukar ke Qatar Airways.

"Ramai berpendapat, bantuan PERKESO hanya untuk kes dalam perjalanan di tempat kerja sahaja.

"Sebenarnya, apabila ada kejadian seperti ini, jika individu itu pernah mencarum, maka sumbangan akan diberikan kepada keluarga atau isteri sebagai pencen (sama skim pencen) sebanyak 65 peratus daripada pendapatan sebelum ini selagi isteri masih hidup.

"Anak di bawah 21 tahun akan mendapat bantuan pendidikan sehingga umur 21 tahun. Selepas 21 tahun, sekiranya perlu boleh memohon untuk bantuan pinjaman pendidikan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan faedah itu kepada isteri

Allahyarham, Salwana Ibrahim di kediaman mereka di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Saravanan berkata, kes kematian COVID-19 pertama yang membabitkan warga tempatan di luar negara ini memenuhi syarat kelayakan di bawah Skim Keilatan PERKESO merangkumi bantuan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000 dan faedah Pencen Penakat.

"PERKESO, melalui Skuad PERKESO Prihatin (SPP) Rawang mengambil langkah proaktif dengan menghubungi keluarga Allahyarham dan membuat semakan caruman beliau," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini jumlah keseluruhan kematian akibat COVID-19 yang layak menerima faedah PERKESO adalah 15 kes berbeza-beza, termasuk Tengku Endut.

Sementara itu, Salwana ketika ditemui tidak menyangka suami layak menerima faedah itu sedangkan sudah tidak mencarum sejak lima tahun lalu.

"Saya memang tidak menyangka sebenarnya sebab benda ni dah lama, tahun 2015. Apabila arwah bekerja di Qatar, saya ingat mungkin tiada dan terputus macam tu sahaja.

"Apa yang dilakukan PERKESO ini amat saya hargai dan dengan bantuan sedemikian, sedikit sebanyak dapat meringankan beban kami sekeluarga," katanya.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 10 Jun lalu setelah lebih sebulan menerima rawatan di Hamad Medical Centre dan dikeburnikan di sana.

Allahyarham Tengku Endut bertugas di Sistem Penerbangan Malaysia Berhad (MAS) selama 23 tahun sebelum berkhidmat dengan Qatar Airways sebagai jurutera selama empat tahun.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Salwana 53, dan enam anak berumur 14 hingga 27 tahun.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • SARAVANAN (dua dari kanan) menyampaikan faedah dari Perkeso kepada Salwana (dua dari kiri) sambil diperhatikan Mohammed Azman (kanan). -Foto NSTP/ Mahzir Mat Isa.
    SARAVANAN (dua dari kanan) menyampaikan faedah dari Perkeso kepada Salwana (dua dari kiri) sambil diperhatikan Mohammed Azman (kanan). -Foto NSTP/ Mahzir Mat Isa.
    Berita Harian X