Ahad, 14 Jun 2020 | 12:44pm

Penderma darah wira negara - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Penderma darah juga adalah wira negara kerana pengorbanan mereka menderma darah secara sukarela membantu menyelamatkan nyawa pesakit.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pengorbanan masa dan tenaga penderma darah, yang tampil secara sukarela saban hari juga dapat dilihat semasa negara berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi melawan COVID-19.

"Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menganjurkan kempen derma darah.

"Menerusi kempen-kempen ini, masyarakat berpeluang untuk menderma darah berdekatan dengan komuniti setempat dan ini lebih memudahkan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian dalam video ucapan sempena Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Kebangsaan bertemakan 'Darah yang Selamat Menyelamatkan Nyawa' dan 'Derma Darah Demi Kesihatan Sejagat', di laman sosial Facebooknya, hari ini.

Fokus tema pada tahun ini menjurus kepada sumbangan setiap penderma darah dalam membantu menyelamatkan nyawa pesakit, dan seterusnya meningkatkan tahap kesihatan komuniti setempat.

Perdana Menteri berkata, dalam situasi negara yang baru memasuki fasa pemulihan wabak COVID-19, normal kehidupan yang baharu perlu terus dilaksanakan untuk meraikan hari penderma darah pada tahun ini.

"Saya yakin semua platform media sosial akan dimanfaatkan dengan makluman berguna bagi meraikan penderma darah serta menyemarakkan kesedaran menderma darah," katanya.

Muhyiddin turut meminta masyarakat meneruskan sokongan padu kepada Pusat Darah Negara dan tabung darah di seluruh negara.

"Saya ingin mengajak semua rakyat Malaysia, terutama yang masih belum menderma darah, mulakan langkah pertama anda dalam menjadikan amalan menderma darah secara berkala sebagai budaya gaya hidup sihat," katanya.

– BERNAMA

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. FOTO/BERNAMA
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. FOTO/BERNAMA
Berita Harian X