Sabtu, 13 Jun 2020 | 8:49pm
Ketua Dewan Muslimat PAS, Saimah Nordin (kiri) menunjukkan PPE yang disiapkan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun pada pertemuan di Kg Sungai Lang Tengah, Banting, hari ini. - Foto ihsan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
Ketua Dewan Muslimat PAS, Saimah Nordin (kiri) menunjukkan PPE yang disiapkan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun pada pertemuan di Kg Sungai Lang Tengah, Banting, hari ini. - Foto ihsan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

Rina hargai sukarelawan siapkan PPE

KUALA LUMPUR: Kesungguhan sukarelawan Dewan Muslimat PAS Sepang menghasilkan kelengkapan perlindungan diri (PPE) wajar diberikan pujian dan menjadi contoh kepada pertubuhan wanita lain.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata kementeriannya sentiasa mengalu-alukan dan menyokong usaha pertubuhan wanita negara ini menunjukkan kemahiran mereka dalam membantu kerajaan.

"Saya dimaklumkan sudah 2,000 PPE berjaya dihasilkan sukarelawan Dewan Muslimat PAS Sepang yang semuanya adalah suri rumah sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

"Keterbatasan pergerakan membuatkan mereka membawa material untuk dijahit di rumah masing-masing.

"Justeru kementerian bersedia membantu apa saja keperluan dan menyokong untuk meningkatkan kemahiran dan kebajikan wanita di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat penyerahan bakul makanan kepada keluarga yang terjejas akibat COVID-19 di Kg Sungai Lang Tengah, dekat Banting, di sini.

Sebagai menghargai kesungguhan usaha sukarelawan itu, Rina sempat meluangkan masa mengadakan pertemuan dengan kumpulan sukarelawan terbabit bagi menzahirkan tanda penghargaan dan terima kasih.

Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat PAS Sepang, Saimah Nordin, berkata kunjungan Rina menaikkan semangat mereka untuk terus menyalurkan bakti dan menyiapkan PPE sehingga pandemik COVID-19 berakhir.

"Alhamdulillah kami berjaya menyiapkan lebih 2,000 PPE dan semua keperluan itu sudah diserahkan ke hospital, pusat kesihatan dan klinik yang memerlukan.

"Selagi COVID-19 ini belum berakhir dan masih menerima sumbangan, selagi itu kami akan terus berkhidmat untuk menyiapkan PPE ini," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X