Rabu, 10 Jun 2020 | 8:01pm
Pengawal keselamatan mengukur suhu guru Sekolah Menengah Kebangsaan (L) Metodist, Sentul yang hadir ke sekolah untuk melakukan penandaan jarak sosial mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang diberikan. Kerajaan mengumumkan tarikh pembukaan sekolah bermula 24 Jun ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Pengawal keselamatan mengukur suhu guru Sekolah Menengah Kebangsaan (L) Metodist, Sentul yang hadir ke sekolah untuk melakukan penandaan jarak sosial mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang diberikan. Kerajaan mengumumkan tarikh pembukaan sekolah bermula 24 Jun ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

I-Guru gesa ibu bapa bantu sekolah pastikan pelajar patuhi SOP

SEREMBAN: Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) menggesa ibu bapa memberikan kerjasama baik dengan pihak sekolah apabila sesi persekolahan bagi pelajar Tingkatan Lima dan Enam dibuka semula pada 24 Jun ini.

Presiden i-Guru, Mohd Azizee Hasan berkata, kerjasama itu penting dalam membantu memastikan tugas guru dapat dilakukan dengan lancar dalam suasana norma baharu dengan menekankan aspek keselamatan dan kesihatan.

"Tanpa kerjasama ibu bapa sukar bagi pihak sekolah dan guru melaksanakan tugas dengan lancar terutama dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah (GPPPSS).

"I-Guru yakin menerusi disiplin pematuhan segala SOP yang ditetapkan akan memastikan pelajar dapat mengikuti sesi pelajaran dan pengajaran (PnP) dengan yakin dan selamat," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin hari ini, mengumumkan bahawa pelajar yang bakal memasuki kelas itu nanti ialah mereka yang mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.

Selain itu, Mohd Azizee berkata, pihaknya berharap Pengetua atau Guru Besar diberikan kuasa autonomi untuk merancang persiapan pengurusan pembukaan semula sekolah.

Beliau berkata, ia termasuk mempertimbangkan isu guru yang menghadapi masalah penjagaan anak-anak sekolah rendah terutama bagi suami isteri yang pergi bekerja.

"Perkara ini bagi mengelak guru terbeban dalam menjalani kehidupan norma baharu di dalam proses PnP.

"Ia juga bertujuan memastikan pelajar dapat melalui proses pembelajaran dengan baik serta sekolah dapat beroperasi dalam keadaan yang selamat," katanya yang menyambut baik pengumuman Menteri Pendidikan itu.

Berita Harian X