Rabu, 10 Jun 2020 | 3:42pm

MOTAC lancar pelan pemulihan pelancongan, kebudayaan

PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) hari ini melancarkan kempen Penyemarakan Semula Pelancongan Domestik sebagai langkah pemulihan sektor itu, yang terjejas susulan penularan COVID-19.

Menterinya, Nancy Shukri, berkata menerusi kempen itu beberapa langkah merangkumi Pelan Pemulihan Pelancongan dan Pelan Pemulihan Kebudayaan diperkenal untuk merancakkan semula sektor berkenaan khususnya pelancongan domestik.

Walaupun kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) dibatalkan sebelum ini, beliau berkata, usaha mempromosikan negara sebagai destinasi pelancongan yang selamat akan diteruskan.

"Sebagai permulaan, kita mahu ia (pelan pemulihan) dibuktikan menerusi pelancongan domestik. Kita sendiri harus memainkan peranan menyemarakkan semula industri pelancongan negara, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan selamat untuk dikunjungi pada masa depan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ahad lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini, antara lain menyaksikan aktiviti pelancongan domestik dibuka semula.

Nancy berkata, MOTAC mencadangkan prosedur operasi standard (SOP) terperinci dan khusus kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi lapan subsektor untuk tujuan pembukaan pelancongan domestik.

Lapan subsektor itu adalah pameran hasil seni, budaya dan warisan di premis dan fasiliti awam kebudayaan; premis penginapan hotel, syarikat pengendali pelancongan, pemanduan pemandu pelancong; operasi institut latihan pelancongan; program pengalaman inap desa; aktiviti pelancongan pengembaraan dan aktiviti lasak serta aktiviti selam skuba dan snorkeling.

Bagi merancakkan semula industri pelancongan dan kebudayaan negara, Nancy berkata, strategi awal pelan pemulihan pelancongan dan kebudayaan sudah dikenal pasti, antaranya mengutamakan platform digital seperti media sosial, laman blog, laman sesawang, e-pasaran dan sebagainya.

Bagi memastikan industri pelancongan terus berdaya saing, Nancy menjelaskan MOTAC melaksanakan beberapa inisiatif dalam membantu meringankan beban penggiat industri pelancongan menangani impak wabak pandemik COVID-19.

Antaranya pelaksanaan kursus 'Domestic Tourism Vibes' secara dalam talian mulai Mei hingga Disember ini kepada kumpulan pemandu pelancong berlesen yang akan tamat tempoh dalam tahun ini.

Selain itu, pengecualian kompaun kepada pengusaha pelancong dan pemandu pelancong yang gagal memperbaharui lesen dalam tempoh ditetapkan disebabkan tempoh PKP.

Mengenai pelan pemulihan sektor kebudayaan, katanya, beberapa inisiatif diperkenalkan dalam talian sepanjang tempoh empat PKP dan PKPB iaitu program pembangunan dan pengembangan seni budaya serta program pemasaran dan promosi.

Nancy berkata, tinjauan Tourism Malaysia ke atas persepsi rakyat mengenai pelancongan domestik selepas PKP ke atas 13,797 individu di negara ini mendapati 50.9 peratus responden mempercayai melancong dalam negara lebih selamat selepas PKP.

Sejumlah 84.2 peratus percaya COVID-19 mempengaruhi sikap mereka untuk mengembara dan 71.3 peratus memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan berbanding ke luar negara.

Jelasnya, tinjauan turut mendapati bahawa 30.7 peratus individu dalam kajian ingin bercuti antara enam bulan sehingga setahun diikuti 22.8 peratus (dua hingga enam bulan) dan 22.6 peratus kurang dari dua minggu. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kakitangan Melaka River Cruise, Shahmizi Azanor (kanan) dan Muhamad Nazirrul Mubin membuat persediaan pembukaan semula operasi Melaka River Cruise dengan menampal notis penjagaan jarak sosial untuk pelancong menikmati pemandangan menyusuri Sungai Melaka. - NSTP/IQMAL HAQIM ROSMAN
    Kakitangan Melaka River Cruise, Shahmizi Azanor (kanan) dan Muhamad Nazirrul Mubin membuat persediaan pembukaan semula operasi Melaka River Cruise dengan menampal notis penjagaan jarak sosial untuk pelancong menikmati pemandangan menyusuri Sungai Melaka. - NSTP/IQMAL HAQIM ROSMAN
    Berita Harian X