Sabtu, 6 Jun 2020 | 6:40pm

Kelonggaran sektor sosial, sukan tidak lama lagi

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan memberi komitmen lebih banyak sektor akan dibuka dalam masa terdekat yang turut diperluaskan kepada sosial dan sukan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ini selepas trend jangkitan COVID-19 dalam kalangan rakyat berkurangan biarpun kelonggaran diberi sebelum ini untuk keseluruhan sektor ekonomi dibuka ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Beliau berkata, pengenalan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang PKPB turut membantu menurunkan kes jangkitan kepada satu angka.

"Dalam seminggu lagi (kes mungkin) kekal satu angka tapi kita kena pastikan tahap kepatuhan rakyat.

"Tindakan juga sudah diambil, kita sudah ada jawatankuasa untuk melihat kepatuhan dalam kalangan warga asing. Mereka juga kena patuh SOP yang digunakan," katanya pada sidang media harian COVID-19 di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, tahap pematuhan SOP dalam kalangan warga asing amat penting dan menjadi keutamaan pemantauan agensi penguat kuasa ketika ini bagi menghentikan penularan jangkitan di negara ini.

Katanya, kementerian menjangkakan akan berlaku peningkatan kes secara mendadak selepas musim perayaan Aidilfitri, tetapi ia tidak berlaku, sebaliknya apa yang berlaku adalah peningkatan jangkitan di Depoh Tahanan Imigresen (DTI).

Dr Noor Hisham berkata, mana-mana warga asing yang didapati positif selepas ujian saringan kedua juga sudah diasingkan dan dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

"Tindakan kita terkawal kerana mereka dalam DTI tetapi apa yang pasti kita perlu meningkatkan lagi protokol dan kawalan penyakit berjangkit di DTI.

"Pada masa sama kita juga perlu melihat di pusat tahanan lain yang dikendalikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan di penjara. Inilah kawasan yang kita tumpu sebagai satu sasaran untuk kita laksanakan pemantauan kelak," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, SOP untuk perniagaan gunting rambut sedia ada dan pihaknya kini akan memantau pelaksanaan serta pematuhan terhadap garis panduan berkenaan.

Katanya, dengan pembukaan perniagaan gunting rambut pada 10 Jun ini, KKM akan memantau jika ada peningkatan kes positif.

p>

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • #taskid sendstory

     Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan, hari ini. - Foto BERNAMA
    Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan, hari ini. - Foto BERNAMA
    Berita Harian X