Jumaat, 5 Jun 2020 | 8:18pm
(DARI kiri) Mohammad Hanafi Hashim, Muhammad Faiz Abdul Manaf dan Badrul Hisham Abu Bakar.
(DARI kiri) Mohammad Hanafi Hashim, Muhammad Faiz Abdul Manaf dan Badrul Hisham Abu Bakar.

Orang ramai sambut baik insentif berganda

KUALA LUMPUR: Pemberian insentif dalam bentuk baucar, pulangan tunai dan diskaun bukan sahaja mendorong rakyat memanfaatkan platform dalam talian, malah sedikit sebanyak meringankan beban harian.

Mohammad Hanafi Hashim, 32, yang juga jurugambar bebas berkata dengan pergerakan yang agak terbatas ketika ini, seharusnya orang ramai mengambil peluang berubah dari normal lama ke baharu yang ternyata memudahkan kerja seharian.

"Antara satu agenda yang baik daripada kerajaan ke arah digitalisasi kerana ia sememangnya memudahkan pengguna dengan adanya pelbagai pilihan dan saluran perkhidmatan.

"Saya juga pengguna e-dompet. Ketika PKP, saya manfaatkan teknologi yang ada. Apa pun, Alhamdulillah... dengan beberapa insentif seperti diumumkan kerajaan sedikit sebanyak bantu meringankan beban saya dan keluarga," katanya.

Seorang penjawat awam, Muhammad Faiz Abdul Manaf, 31, berkata beliau antara pembeli dalam talian walaupun tidak kerap.

"Dengan insentif 'berganda' seperti diskaun dan tambahan baucar sememangnya satu galakkan yang baik supaya orang ramai menggunakan perkhidmatan e-dompet," katanya.

Bagi Badrul Hisham Abu Bakar, 47, berkata, sebagai individu di peringkat usia 50-an, beliau akan cuba memanfaatkan perkhidmatan e-dompet.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membentangkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), berkata, dalam menjalani kehidupan norma baharu, semakin ramai rakyat Malaysia memilih untuk menggunakan pembayaran tanpa sentuh atau contactless payment.

Beliau berkata, untuk menggalakkan penggunaan perkhidmatan berkenaan, melalui Program ePenjana yang bernilai RM750 juta, kerajaan akan mengkreditkan RM50 ke dalam akaun e-dompet

pengguna.

Ini akan dipadankan dengan tambahan baucar, pulangan tunai dan diskaun berjumlah RM50 daripada syarikat khidmat e-dompet.

Inisiatif itu yang akan bermula pada bulan depan akan memanfaatkan 15 juta rakyat Malaysia.

Berita Harian X