Rabu, 3 Jun 2020 | 5:39pm
Timbalan Pengarah PERKESO Negeri Selangor, Mohammad Ramli Ahmad Dahalan (kanan) menyerahkan faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000 dan pencen penakat kepada balu Allahyarham Mohamed Shamry Saiful Bahri, Sharanizawati Shaari (tengah) di kediamanya Sungai Buloh. - Foto Faiz Anuar
Timbalan Pengarah PERKESO Negeri Selangor, Mohammad Ramli Ahmad Dahalan (kanan) menyerahkan faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000 dan pencen penakat kepada balu Allahyarham Mohamed Shamry Saiful Bahri, Sharanizawati Shaari (tengah) di kediamanya Sungai Buloh. - Foto Faiz Anuar

Waris pekerja TV3 terima bayaran faedah PERKESO

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyampaikan bayaran faedah kepada waris kakitangan TV3 yang meninggal dunia pada 20 Mei lalu.

Allahyarham Mohamed Shamry Saiful Bahri, 39, yang berkhidmat di Jabatan Teknologi Maklumat TV3, meninggal dunia empat hari sebelum Aidilfitri akibat komplikasi pendarahan otak.

PERKESO berkata seperti kelaziman Skuad PERKESO Prihatin segera mengambil langkah proaktif dengan membuat semakan caruman dan mendapati Allahyarham layak menerima faedah PERKESO iaitu faedah pengurusan mayat (FPM) berjumlah RM2,000 dan pencen penakat.

"Pencen penakat adalah satu faedah dalam Skim Keilatan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 yang dibayar kepada orang tanggungan yang layak apabila Orang Berinsurans PERKESO meninggal dunia akibat sebarang sebab yang tidak berkaitan dengan pekerjaan.

"Antara syarat pencen penakat adalah meninggal dunia sebelum mencapai umur 60 tahun dan memenuhi syarat kelayakan caruman," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bayaran faedah ini disampaikan oleh Timbalan Pengarah PERKESO Negeri Selangor, Mohammad Ramli Ahmad Dahalan.

Allahyarham Mohamed Shamry yang berkhidmat selama 16 tahun bersama TV3, meninggalkan seorang balu Sharanizawati Shaari, 38, dan tiga anak berusia lima, sembilan dan 11 tahun.

From: Along

Berita Harian X