Selasa, 2 Jun 2020 | 10:38pm

MMU pertimbang kurangkan yuran pelajar

KUALA LUMPUR: Universiti Multimedia (MMU) mempertimbangkan langkah untuk mengurangkan dua yuran pengajian semester, iaitu yuran aktiviti dan yuran sumber pelajarnya.

Pemangku Presidennya, Prof Dr Ho Chin Kuan, berkata inisiatif itu diambil memandangkan pelajar kurang menjalani aktiviti di kampus dalam tempoh beberapa bulan disebabkan penularan virus COVID-19.

"Isu yuran bagi pelajar universiti yang terkesan akibat COVID-19 sememangnya wajar diberi perhatian bagi meringankan beban mereka semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sebagai sebuah universiti yang sentiasa prihatin berhubung kebajikan pelajar, MMU menimbangkan langkah untuk mengurangkan kadar yuran aktiviti dan yuran sumber.

Pemangku Presiden MMU, Prof Dr Ho Chin Kuan.
Pemangku Presiden MMU, Prof Dr Ho Chin Kuan.

"Hasil keputusan pihak pengurusan dan berita gembira mengenainya akan dimaklumkan kepada pelajar tidak lama lagi," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak dilaporkan berkata, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedang mengkaji isu berkaitan yuran pengajian semester IPT bagi penuntut yang terkesan akibat COVID-19.

Beliau menjelaskan, perkara itu kini dalam proses perbincangan untuk mencari kaedah penyelesaian terbaik bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Mengulas lanjut, Chin Kuan berkata, MMU pada masa sama masih mengekalkan kadar yuran sumber yang rendah bagi membiayai fasiliti untuk menyokong pembelajaran dalam talian.

Katanya, pembiayaan itu termasuk kos penyelenggaraan kemudahan teknologi maklumat (IT) dan peralatan seperti pelayan (server), langganan buku dan jurnal elektronik, pangkalan data, e-perpustakaan dan sebagainya.

"MMU mendapat saranan KPT untuk mempertimbangkan pengurangan yuran. Memandangkan sesi semester MMU bermula lebih awal iaitu pada April lalu, MMU sudah lebih awal mengurangkan yuran sumber berkenaan kepada pelajar.

"Selain pengurangan yuran sumber dan yuran aktiviti pelajar, MMU melalui Yayasan Universiti Multimedia (YUM) turut membantu kebajikan pelajar untuk menghadapi tempoh PKP.

"Antaranya ialah bantuan kewangan untuk pelajar keluarga B40 (golongan berpendapatan 40 peratus terendah), sumbangan makanan harian dan zakat kepada pelajar daripada keluarga dalam kategori asnaf," katanya.

Beliau berkata, Bahagian Hal Ewal Pelajar (HEP) MMU turut memberi bantuan makanan dan khidmat kaunseling kepada pelajar terjejas termasuk mereka yang terputus bekalan makanan dan terkandas di asrama berikutan PKP.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X