Ahad, 31 Mei 2020 | 5:30pm
Jemaah menunaikan solat Jumaat di Surau Ar-Redhuan Taman Semabok Perdana, Melaka, kelmarin. Foto oleh HAQIM ROSMAN
Jemaah menunaikan solat Jumaat di Surau Ar-Redhuan Taman Semabok Perdana, Melaka, kelmarin. Foto oleh HAQIM ROSMAN

Masjid, surau Zon Hijau wajar dibuka sepenuhnya, tambah jemaah

KUALA LUMPUR: Ilmuan Islam tempatan berpendapat banyak pertimbangan masih perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa sebelum membenarkan masjid dan surau negara ini dibuka untuk ibadat berjemaah, walaupun wabak COVID-19 semakin menurun.

Walaupun berharap masjid dan surau dalam Zon Hijau diberi kelonggaran yang lebih, untuk tujuan ibadat berjemaah, namun mereka mengakui keperluan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat demi menjaga imej agama Islam sendiri.

Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah dan Pulau Pinang, Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin, secara peribadi berharap masjid utama dalam zon hijau dibuka semula kepada jemaah dengan dikenakan SOP elak penularan jangkitan COVID-19.

Namun, beliau menegaskan langkah itu masih perlu mengambil kira kemampuan pengurusan setiap masjid menguruskan proses saringan kesihatan terhadap semua jemaah.

Mohd Hapiz yang juga Pensyarah Kanan di Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, berkata antara kebimbangan adalah kemampuan pengurusan masjid memastikan SOP dipatuhi sepenuhnya.

"Ada masjid di Pulau Pinang yang tidak mampu mengawal jemaah kerana jawatankuasanya terdiri daripada kalangan warga tua. Bayangkan jika jemaah yang hadir adalah pembawa virus, ia akan menjangkiti orang lain termasuk jawatankuasa masjid," katanya.

Beliau berkata, ada banyak proses perlu dilalui bagi membolehkan masjid dibuka semula, antaranya mendapat kelulusan daripada Jabatan Agama Islam Negeri atas syor jabatan mufti.

"Setakat ini, SOP solat jemaah di masjid masih mengguna pakai yang sedia ada iaitu dilaksanakan bagi solat fardu berjemaah sekadar tiga orang dan solat Jumaat dihadkan kepada 13 hingga 40 orang mengikut negeri masing-masing.

"Di peringkat Jawatankuasa Fatwa, kami akan mencadangkan yang terbaik daripada segi hukum dan pandangan ulama.

"Seterusnya cadangan itu akan dibawa ke peringkat Jabatan Agama Islam Negeri sama ada mereka menerimanya atau membuat sebarang pindaan.

"Ini berikutan Jabatan Agama Islam Negeri yang berkuasa dalam urusan agama dengan turut menaungi pengurusan masjid," katanya.

Katanya, walaupun banyak masjid di luar negara termasuk Masjid Nabawi di Madinah mula dibuka secara berperingkat, umat Islam perlu memahami SOP bagi setiap negara yang berbeza mengikut realiti semasa COVID-19.

"Di Malaysia, kita masih perlu melihat kepada data terkini COVID-19 dan mendapatkan pandangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Umat Islam janganlah salahkan sistem sedia ada, selagi kita masih ada alternatif lain untuk beribadah.

"Ada kaedah fikah yang menyebut "jika tidak boleh buat semua, jangan tinggal semuanya' kerana Islam itu mudah dan tidak membebankan," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Dr Mohd Roslan Mohd Noor, berharap kerajaan dapat membuka semula semua masjid dengan menyediakan segera SOP yang perlu diikuti.

Beliau berkata, SOP perlu mengambil kira individu yang bermusafir, termasuk penghantar makanan dan pemandu e-hailing untuk dibenarkan solat di masjid ketika bekerja.

"Permintaan membuka semula masjid ini bukan bermakna mengambil mudah terhadap jangkitan COVID-19.

"Bagaimanapun, sudah tiba masanya untuk solat jemaah dan khususnya solat Jumaat dibenarkan di semua masjid.

"Saya cadangkan, kerajaan boleh menetapkan SOP sebagaimana tempat awam lain, sama ada menggunakan nisbah keluasan kawasan atau mengehadkan jumlah yang ditetapkan dalam satu masa," katanya.

Mohd Roslan berkata, wajar bilangan jemaah bagi solat Jumaat ditingkatkan kepada 40 orang, selari jumlah minimum ditetapkan dalam mazhab Syafie.

Katanya, jemaah juga perlu mengambil langkah serius dengan mematuhi nasihat pakar kesihatan bukan sahaja bagi mengawal tersebarnya COVID-19 tetapi demi menjaga agama Islam daripada menjadi bahan fitnah.

"Sekiranya didapati masjid atau jemaah tidak mematuhi SOP ditetapkan, maka tindakan perlu diambil oleh pihak berkuasa.

"Begitu juga jika ada dalam kalangan ahli kariah atau jawatankuasa dijangkiti COVID-19, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan menutup kembali sehingga tempoh yang sesuai," katanya.

Pendakwah, Ahmad Fauwaz Fadzil, berkata umat Islam termasuk ahli agama, perlu meneliti isu ini menggunakan minda, bukan mendesak masjid dibuka semula secara beremosi.

"Dalam isu ini, ia bergantung kepada kerajaan yang akan meneliti dengan petunjuk daripada KKM dan MKN.

"Ini bukan masalah kewajipan solat berjemaah itu hilang, cuma tertangguh disebabkan kebimbangan umum.

"Jadi tunggulah sehingga kerajaan lihat ada kebaikan untuk membuka semula masjid, pasti kita semua akan dapat menjalankan ibadah seperti biasa," katanya.

Ahmad Fauwaz menasihati masyarakat supaya tidak terus mendesak kerana ia tidak membawa kepada natijah yang baik.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X