Khamis, 28 Mei 2020 | 9:11pm
 Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad

'Bukan dipecat tapi gugur keahlian'

KANGAR: Tun Dr Mahathir Mohamad bersama empat lagi pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bukan dipecat daripada parti itu, sebaliknya keahlian mereka gugur sendiri.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Wan Saiful Wan Jan menegaskan, perkara itu jelas termaktub di dalam perlembagaan parti dan tidak timbul soal pemecatan seperti yang dilaporkan.

"Fasal 10.2 Perlembagaan BERSATU adalah jelas bahawa 'Keahlian seseorang ahli terhenti secara serta merta apabila' ... 'menyertai atau menjadi ahli mana-mana parti politik lain.'

"Apabila mana-mana ahli parlimen BERSATU memilih untuk menyertai kelompok yang bukan bersama parti sendiri di dalam Parlimen, maka secara automatik keahlian mereka gugur dan ia bukan satu perkara mengejutkan.

"Saya mahu tegaskan bahawa mereka tidak dipecat sebaliknya keluar hasil tindakan sendiri. Sebagai contoh, apabila seseorang itu dengan sendiri berjalan keluar dari rumah, dia bukan dikeluarkan dari rumah itu tetapi tindakannya yang menyebabkan dia berada di luar rumah, itulah yang berlaku dalam kes ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas insiden di Parlimen pada 18 Mei lalu, Wan Saiful menegaskan bahawa tindakan lima Ahli Parlimen itu bertentangan dengan pengamalan mana-mana ahli politik.

"Tidak ada satu parti pun di muka bumi ini yang membenarkan Ahli Parlimennya berada di kerusi yang berbeza dari kedudukan parti di dalam Parlimen.

"Tolong beritahu parti mana di dunia ini yang pernah benarkan ia berlaku? Tiada masalah untuk berbeza pandangan tetapi mestilah (tetap berada) dari blok parti sendiri, bukan dari luar (blok parti)," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta semua ahli kembali memperkukuhkan parti dan menghargai segala sumbangan kesemua pemimpin berkenaan sepanjang berada di dalam parti tanpa menafikan jasa mereka.

Sebelum ini, media melaporkan Dr Mahathir bersama empat yang lain iaitu Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ketua Armada BERSATU, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Dr Maszlee Malik serta Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah dipecat daripada parti itu.

Berita Harian X