Khamis, 28 Mei 2020 | 5:38pm
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - FOTO BERNAMA
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - FOTO BERNAMA

PKPB: Trend penularan dalam masyarakat setempat menurun - KP Kesihatan

PUTRAJAYA: Sebanyak 1,189 kes positif COVID-19 direkodkan sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sejak 4 Mei lalu hingga semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah itu, 270 kes atau 22.7 peratus membabitkan warga tempatan.

Selain itu, beliau berkata, 919 kes atau 77.3 peratus membabitkan warga asing, termasuk 383 di tiga Depoh Tahanan Imigresen (DTI).

"Sejak PKPB bermula, trend penularan COVID-19 dalam kalangan masyarakat setempat didapati semakin berkurangan daripada minggu sebelumnya.

"Ini tidak mungkin dicapai tanpa kerjasama dan pematuhan orang ramai kepada nasihat, SOP (prosedur operasi standard) kerajaan, serta aktiviti penguatkuasaan oleh pelbagai agensi.

"Justeru, kita ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada pihak industri serta orang ramai kerana sudi memikul beban bersama kerajaan demi kepentingan komuniti dan negara.

"Jika usaha ini diteruskan oleh semua pihak dengan sikap dan rasa tanggungjawab sosial, kita pasti dapat sama-sama memutuskan rantaian penularan virus COVID-19 di Malaysia," katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X