Rabu, 27 Mei 2020 | 9:24pm

COVID-19: MPPK minta kaji semua yuran pengajian IPT

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) meminta Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengkaji semula isu berkaitan yuran pengajian semester institusi pengajian tinggi (IPT) ke atas pelajar yang terkesan akibat penularan COVID-19.

Presidennya, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri, berkata susulan pengumuman KPT sesi pengajaran dan pembelajaran di IPT akan dilaksanakan secara atas talian sehingga 31 Disember ini, KPT perlu menyelaraskan satu garis panduan atau saranan kepada IPT di seluruh negara bagi menangani isu berkenaan.

Katanya, ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hampir 80 peratus pelajar sudah kembali ke kampung dan tidak menggunakan sepenuhnya kemudahan di universiti.

"Isu yuran ini terutamanya adalah membabitkan yuran pengajian serta yuran kolej kediaman. Justeru, kami berharap Menteri Pengajian Tinggi (Datuk Dr Noraini Ahmad) dapat meneliti serta mempertimbangkan hasrat ini demi kelangsungan mahasiswa di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhammad Amir berkata, terdapat beberapa wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) IPT sudah mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai isu yuran pengajian kepada pihak universiti masing-masing, namun sehingga kini masih tiada tindakan lanjut mengenainya.

Selain itu, katanya, terdapat universiti yang memilih untuk tidak mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perkara itu.

Sementara itu, Muhammad Amir memaklumkan, terdapat beberapa universiti mengambil inisiatif bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi dalam memberi data percuma kepada pelajar supaya urusan pembelajaran dalam talian berjalan lancar.

"Bagaimanapun, masih terdapat universiti yang tidak mengambil sebarang tindakan berhubung perkara ini sehingga proses pembelajaran dalam talian agak terganggu seperti jaringan WiFi terlalu perlahan dan tidak mendapat akses pembelajaran dalam talian yang mencukupi.

"Justeru, MPPK juga memohon supaya KPT memandang serius isu ini supaya ia dapat diselesaikan dan masalah pengajaran dan pembelajaran pelajar tidak terganggu.

"Kebajikan pelajar adalah tanggungjawab utama bagi setiap pengurusan universiti yang diamanahkan kerajaan dalam usaha memacu tahap akademik tertinggi di negara ini," katanya.

Katanya, semua pihak yang terbabit juga perlu lebih fokus dalam menangani isu berbangkit supaya tidak membantutkan usaha mengekalkan tahap pembelajaran optimum walaupun ketika penularan COVID-19.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X