Rabu, 27 Mei 2020 | 5:32pm

COVID-19 masih jauh untuk berakhir - Dr Noor Hisham

PUTRAJAYA: Jumlah kes COVID-19 di Malaysia merangkumi 0.4 peratus daripada 5,559,130 kes dicatatkan di seluruh dunia, sekali gus dilihat semakin serius dan masih jauh untuk berakhir.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bagaimanapun jumlah kes baharu di negara ini, dilihat berkurangan.

Beliau berkata, jumlah kes kembali ke angka dua digit selepas menunjukkan peningkatan disebabkan pengesanan kes COVID-19 di beberapa Depoh Tahanan Imigresen (DTI).

"Penurunan kes COVID-19 daripada penularan tempatan ini selaras dengan unjuran sebelum ini oleh pihak kementerian.

"Ia hasil tindakan kesihatan awam yang dilaksanakan sejak sebulan lalu semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan seterusnya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Selain itu, penurunan jumlah kes itu turut dibantu dengan pematuhan orang ramai terhadap norma dan kelaziman baharu serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk pelbagai sektor dan industri," katanya dalam sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X